
PETALING JAYA: Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes lelaki yang didakwa menipu dengan menjadi wakil menawarkan penjualan rumah murah dengan menggunakan kuota kerabat diraja sehingga kerugian dianggarkan lebih jutaan ringgit.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Annas Sulaiman berkata, pihaknya telah menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, pihaknya telah menerima dua laporan polis berhubung kes tersebut.
“Siasatan telah dibuka siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, Pejabat Sultan Selangor dalam kenyataan menyerahkan isu individu menyamar sebagai Pengawal Peribadi Sulit kepada Raja Muda Selangor dengan memperdaya orang ramai kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.
Kata kenyataan itu, Istana Selangor memandang serius terhadap isu ini dan menyerahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat siasatan menyeluruh dengan adil dan telus.
Istana Selangor memohon kerjasama orang awam supaya membuat semakan dengan pihak pentadbiran istana berkaitan apa-apa dakwaan yang mengaitkan kedudukan individu terlibat dengan nama istana dalam membuat sebarang urusan. – UTUSAN
The post Polis siasat kes penipuan jual rumah guna nama kerabat diraja appeared first on Utusan Malaysia.






