Polis siasat kesahihan dakwaan Jho Low balik Malaysia untuk mesyuarat rahsia

LocalPolitics
16 May 2026 • 11:48 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Polis siasat kesahihan dakwaan Jho Low balik Malaysia untuk mesyuarat rahsia

KUALA LUMPUR - Polis sedang menyiasat dakwaan bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low pulang ke Malaysia bagi menghadiri mesyuarat rahsia pada penghujung tahun lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail bagaimanapun memaklumkan polis masih belum dapat mengesahkan sama ada dakwaan itu benar atau tidak.

“Isu ini pun kita tidak dapatkan kepastian lagi sejauh mana kebenarannya.

“Jadi kita melihat bahawa siasatan masih lagi berterusan, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk memastikan semuanya berjalan dengan baik dan lancar.

“Jadi kita akan beri kenyataan-kenyataan di masa-masa depan sekiranya ada perkara-perkara yang timbul dalam isu-isu yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Autisme Pusat Autisme Pengaman-Polis Diraja Malaysia (PDRM), hari ini.

Image from: Polis siasat kesahihan dakwaan Jho Low balik Malaysia untuk mesyuarat rahsia
Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low - Gambar media sosial, 16 Mei, 2026

Beliau mengulas laporan portal Sarawak Report bahawa Jho Low, yang telah memfailkan permohonan pengampunan Presiden di Amerika Syarikat pada Januari lalu dalam keadaan luar biasa, dengan ahli perniagaan itu dikatakan memainkan peranan penting dalam rundingan sulit antara China dan Malaysia untuk melupuskan hutang berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada penghujung tahun lalu.

Artikel itu turut memetik sumber yang mendakwa mesyuarat melibatkan ahli perniagaan buruan tersebut diadakan di Kuala Lumpur, di bawah perlindungan delegasi China.

Pada Isnin, Jho Low, yang merupakan individu paling dikehendaki dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilaporkan cuba memohon pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dengan permohonan berkenaan difailkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Menurut laporan Wall Street Journal (WSJ), jika diluluskan, ia akan menggugurkan pertuduhan jenayah di Amerika Syarikat terhadapnya.

Laman web Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menyenaraikan satu permohonan yang masih menunggu keputusan bagi “Pardon after Completion of Sentence” atas nama Taek Jho Low yang difailkan tahun ini.

WSJ yang memetik sumber juga memberitahu, Jho Low dilaporkan menggunakan penyerahan seorang lelaki warga Bangladesh dalam kes eksploitasi kanak-kanak oleh Malaysia kepada AS, baru-baru ini, sebagai sebahagian daripada permohonannya untuk mendapatkan pengampunan daripada Trump.

Jho Low, yang didakwa mendalangi kecurian lebih AS$4.5 bilion (RM20.7 bilion) daripada Malaysia melalui kes 1MDB itu hilang pada 2016 ketika pihak berkuasa dari Singapura hingga ke Australia dan AS menyiasat kes penipuan besar-besaran tersebut. – 16 Mei, 2026

The post Polis siasat kesahihan dakwaan Jho Low balik Malaysia untuk mesyuarat rahsia appeared first on Scoop.