
SEREMBAN – Tindakan lima lelaki didakwa menyerahkan sampul surat mengandungi RM300 kepada seorang warga emas sebelum memintanya menyokong Pakatan Harapan (PH) kini disiasat polis sebagai kesalahan pilihan raya.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kes berkenaan adalah antara empat kertas siasatan yang dibuka pada 29 Julai membabitkan tiga siasatan mengikut Seksyen 11 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan satu lagi mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 11 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Beliau berkata, bagi kes di Sikamat, pengadu lelaki berusia 69 tahun membuat laporan polis pada 28 Julai selepas mendakwa didatangi lima lelaki yang menaiki sebuah kereta.
“Pengadu mendakwa individu terbabit menyerahkan sampul surat berwarna coklat mengandungi RM300, mengambil gambar kad pengenalannya dan memintanya membantu Pakatan Harapan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Alzafny berkata, polis turut membuka siasatan terhadap satu laporan di Bukit Pelandok, Port Dickson selepas seorang lelaki berusia 40 tahun melihat satu video yang dimuat naik di aplikasi Threads memaparkan orang ramai beratur dalam satu program, kad pengenalan orang awam diambil serta sampul surat berwarna coklat mengandungi wang tunai diedarkan.
Katanya, satu lagi laporan diterima di Seremban membabitkan video yang tular menerusi WhatsApp yang mendakwa calon DUN Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak, memberi sogokan kepada pengundi sehingga disifatkan sebagai perbuatan membeli undi.
“Selain itu, polis turut menyiasat satu video di TikTok bertajuk “Polis Disogok RM300 Hingga RM500” yang mendakwa warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin dipanggil seorang demi seorang dan diminta memberi sokongan kepada Pakatan Harapan dengan bayaran RM300.
“Pengadu percaya dakwaan dalam video itu berunsur fitnah, tidak benar serta boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat,” katanya.-KOSMO! ONLINE
The post Polis siasat lima lelaki beri RM300 kepada pengundi appeared first on Kosmo Digital.






