
AMPANG JAYA – Polis sedang mengesan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang sejak lima hari lalu selepas keluar dari kediamannya di Pandan Mewah Height Condominium, Taman Pandan Mewah, di sini.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, remaja terbabit dikenali S. Jaselan kali terakhir dilihat keluar dari rumahnya kira-kira pukul 2 petang pada 26 Julai lalu.
Menurutnya, ketika kejadian, remaja terbabit memakai baju berwarna merah dan seluar jeans biru yang mempunyai kesan koyak pada bahagian lutut.
“Mangsa berkulit gelap, berbadan kurus dengan ketinggian kira-kira 1.6 meter dengan berat sekitar 45 kilogram.
“Sehingga kini, remaja berkenaan masih belum pulang ke rumah dan tidak dapat dihubungi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan Jaselan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
Maklumat juga boleh disalurkan kepada Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya di talian 03-4289 7222 atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Azamil Makmor di talian 019-600 4104. – KOSMO! ONLINE
The post 5 hari hilang, Jaselan masih gagal dikesan appeared first on Kosmo Digital.






