Polis siasat pemandu Myvi langgar lari kanak-kanak tunggang basikal

9 Jun 2026 • 7:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis siasat pemandu Myvi langgar lari kanak-kanak tunggang basikal
Tangkap layar rakaman kamera memaparkan kemalangan membabitkan sebuah kereta dan basikal di sini pada Selasa.

KUALA LUMPUR – Polis merakam keterangan pemandu dan pemilik Perodua Myvi bagi membantu siasatan berkaitan kes langgar lari seorang kanak-kanak yang menunggang basikal di Jalan Wirawati 5 Kampung Pandan di sini pada Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, pihaknya mengesan satu video kemalangan berkenaan yang tular di media sosial.

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 7.26 pagi melibatkan sebuah Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki dan sebuah basikal yang ditunggang seorang kanak-kanak lelaki yang masih belum dikenal pasti.

"Kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu kereta itu membelok keluar dari simpang ke kanan sebelum melanggar bahagian belakang basikal sehingga menyebabkan mangsa tersebut terjatuh di atas jalan raya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Zamzuri berkata, pemandu Myvi terbabit kemudiannya dipercayai meninggalkan lokasi kejadian tanpa berhenti.

"Hasil maklumat dan siasatan lanjut yang dijalankan JSPT Kuala Lumpur, pemandu kereta berkenaan berjaya dikesan bagi membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, semakan mendapati lelaki itu menggunakan kenderaan milik adiknya selain merupakan pemegang Kad Orang Kurang Upaya (OKU) kategori ketidakupayaan mental.

"Pemandu kereta memiliki lesen memandu yang masih aktif.

"Pemandu dan pemilik kenderaan datang ke balai polis dan masih dalam proses merakam percakapan.

"Setakat ini kecederaan yang dialami penunggang basikal berkenaan masih belum dapat dipastikan," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta ahli keluarga mangsa tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan.

"Orang awam yang menyaksikan kejadian termasuk pemilik rakaman video papan pemuka kenderaan (dashcam) diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Hazman di talian 019-2089005 bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya kepada pengguna jalan raya lain.