PUTRAJAYA - Polis menjalankan siasatan berhubung individu yang didakwa berasal dari Myanmar memiliki MyKad seperti video tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima satu laporan berhubung penyebaran maklumat palsu berkaitan urusan pengeluaran kad pengenalan kepada individu yang didakwa sebagai warga Myanmar di media sosial pada 8.45 pagi Jumaat.
"Siasatan awal mendapati terdapat satu hantaran video yang tular di Facebook yang memaparkan serta mempersoalkan bagaimana seorang individu yang didakwa berasal dari Myanmar boleh memiliki MyKad berwarna biru.
"Hasil siasatan mendapati video berkenaan adalah rakaman yang sudah diulang siar oleh pihak kedua," katanya dalam kenyataan pada Jumaat
Aidi Sham berkata, semakan lanjut mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri atau MyKad dipaparkan dalam rakaman video berkenaan bagi menyokong dakwaan yang dibuat.
"Kita sudah merujuk perkara itu kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk tindakan semakan serta siasatan lanjut bagi memastikan kesahihan maklumat yang ditularkan," katanya.
Menurutnya, orang awam dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat yang tidak sahih atau palsu berkaitan kejadian itu kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat serta mencemarkan nama baik pihak yang terbabit.
"Orang ramai dinasihatkan juga untuk mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kepada pihak polis bagi membantu siasatan," katanya.
Terdahulu, media melaporkan JPN membuat laporan polis berhubung video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki didakwa berasal dari Mynamar mempunyai MyKad.
JPN dalam perkongsian hantaran di Faceboook memaklumkan, laporan polis itu dibuat untuk siasatan lanjut pihak berkuasa susulan penularan video berkenaan serta bagi mengelakkan kekeliruan, spekulasi dan kegusaran awam.
Bagaimanapun, JPN tidak boleh mengesahkan status kewarganegaraan seseorang atau menjalankan tindakan lanjut hanya berdasarkan rakaman video tular di media sosial.
JPN memohon kerjasama polis serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut.





