JPN buat laporan polis video tular lelaki Myanmar dakwa miliki MyKad

LocalPolitics
5 Jun 2026 • 8:02 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: JPN buat laporan polis video tular lelaki Myanmar dakwa miliki MyKad
Video tular memaparkan seorang lelaki disyaki warga Myanmar mendakwa memiliki MyKad.

KUALA LUMPUR - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat laporan polis berhubung video tular di media sosial memaparkan seorang lelaki yang mendakwa berasal dari Mynamar namun mengakui mempunyai MyKad.

Menurut JPN melalui hantaran di Facebook, laporan polis itu dibuat untuk membolehkan siasatan lanjut pihak berkuasa serta bagi mengelakkan kekeliruan, spekulasi dan kegusaran awam.

"JPN memandang serius sebarang dakwaan membabitkan pemilikan MyKad atau status kewarganegaraan seorang individu," katanya.

Namun, JPN menegaskan bahawa mereka tidak boleh mengesahkan status kewarganegaraan seseorang hanya berdasarkan rakaman video tular.

"Sebarang pengesahan hanya boleh dibuat melalui semakan rekod rasmi dan siasatan terperinci mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

"Ketika ini identiti sebenar individu berkenaan masih belum dapat dikenal pasti dan tiada maklumat lengkap yang boleh digunakan bagi tujuan pengesanan atau tindakan lanjut oleh JPN," katanya.

Sehubungan itu, JPN memohon kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengenal pasti individu terbabit, manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diminta membantu mengesan sumber asal video tersebut.

JPN menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan dokumen pengenalan diri, dan sekiranya siasatan mendapati wujud pelanggaran undang-undang, tindakan sewajarnya akan diambil.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mendapatkan fakta sebenar," katanya.

Laporan polis dibuat di Balai Polis Presint 7, Putrajaya, selepas sebuah akaun TikTok berkongsi video berkenaan.

Dalam video itu, pemilik akaun mempersoalkan sama ada individu terbabit menggunakan MyKad palsu atau kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

"Undang-undang ketat pihak berkuasa seperti JPN selalu menegaskan warga asing tidak boleh sewenang-wenangnya mendapatkan IC (MyKad) biru.

"Kalau betul dia ada IC, pihak imigresen atau pihak berwajib perlu selidik isu ini secepatnya supaya tidak menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat tempatan," katanya.