Polis tahan dua lelaki, rampas pelbagai peluru

12 Jun 2026 • 4:53 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Polis tahan dua lelaki, rampas pelbagai peluru

KENINGAU: Polis menahan dua lelaki dan merampas sejumlah peluru serta amunisi dalam dua operasi berasingan di Nabawan pada petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Keningau, Supt Yampil Anak Garai (gambar), berkata tangkapan dibuat hasil maklumat yang diterima oleh pasukan D9 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Menurut beliau, seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan pada kira-kira jam 3.15 petang di hadapan sebuah kedai serbaneka di Nabawan.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek menemui dua kotak mengandungi 40 butir peluru jenis 5.56 milimeter Ball M193 yang disimpan di dalam beg silang miliknya. Polis turut merampas sebilah parang panjang,” katanya.

Susulan tangkapan tersebut, polis menjalankan pemeriksaan di sebuah rumah tidak bernombor di sebuah Kampung di Nabawan yang ditunjukkan oleh suspek.

Pemeriksaan lanjut menemui sebuah kotak berwarna hijau yang mengandungi tujuh kotak peluru 5.56 milimeter Ball M193 berjumlah 140 butir serta dua butir peluru jenis penabur.

Berdasarkan maklumat diperoleh, polis kemudiannya menahan seorang lagi lelaki berusia 45 tahun yang dipercayai pemilik peluru berkenaan. Suspek merupakan anggota Askar Wataniah berpangkat koperal yang bertugas di Kem Sementara Nabawan.

Kesemua tangkapan dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau untuk tindakan lanjut.

Siasatan awal mendapati suspek pertama yang bekerja sebagai petani dan tinggal bersama bapanya mengaku menyimpan peluru yang dirampas dengan tujuan mencari pembeli bagi mendapatkan wang untuk membeli dadah.

Suspek turut mendakwa peluru tersebut adalah milik bapanya.

Sementara itu, suspek kedua (bapa suspek pertama) mengaku menyimpan peluru berkenaan dan memaklumkan bahawa ia merupakan lebihan peluru latihan menembak yang dibawa pulang selepas latihan di Kem Askar Wataniah Nabawan pada 2022.

Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Kedua-dua suspek ditahan reman selama empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Semasa operasi, polis merampas keseluruhan 180 butir peluru 5.56 milimeter Ball M193, dua butir peluru penabur serta sebilah parang panjang dalam operasi tersebut.