
Kota Kinabalu: Polis merampas 159.8 kilogram dadah disyaki syabu bernilai kira-kira RM7.99 juta serta menahan dua lelaki dan seorang wanita dalam siri operasi di bawah Op Bayu 9 yang dijalankan di bandaraya ini pada 22 Mei lalu.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata semua suspek berusia antara 18 hingga 49 tahun itu ditahan hasil operasi risikan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah.
“Suspek pertama ditahan kira-kira jam 3.40 petang berhampiran City Mall ketika membawa sebuah kotak mengandungi sembilan bungkusan disyaki syabu seberat 9.1 kilogram.
“Susulan penahanan itu, polis menjalankan serbuan di sebuah rumah di Luyang, sebuah hotel di bandar raya ini dan sebuah unit apartmen di Ashton Tower, Inanam.
“Serbuan itu membawa kepada penahanan dua lagi suspek serta rampasan tambahan 68 bungkusan disyaki syabu seberat 69.8 kilogram,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, Rabu.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut ke atas sebuah Perodua Alza yang diparkir di kompleks apartmen berkenaan menemukan lagi 79 bungkusan disyaki syabu seberat 80.9 kilogram yang disorokkan di beberapa ruang dalam kenderaan itu, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak 159.8 kilogram.
Menurutnya, dadah yang dirampas itu dianggarkan mampu membekalkan sebanyak 454,285 kali penggunaan dadah manakala saringan awal air kencing mendapati seorang daripada suspek positif methamphetamine dan amphetamine.
“Ketiga-tiga suspek merupakan warga tempatan dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Polis turut menyita dua kenderaan Proton X50 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes ini,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.






