
Polis Kota Tinggi kejar Proton Wira sejauh 50km selepas suspek ingkar arahan berhenti. Dua lelaki disahkan positif untuk dadah methamphetamine.
JOHOR BAHRU: Polis menahan dua lelaki tempatan selepas dikejar anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi sejauh kira-kira 50 kilometer, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Yusof Othman berkata kejadian berlaku kira-kira 12.35 tengah malam apabila anggota MPV mengarahkan kereta Proton Wira dinaiki suspek berusia 33 dan 44 tahun untuk berhenti di Jalan Tun Sri Lanang, Bandar Kota Tinggi.
“Bagaimanapun, suspek gagal mematuhi arahan polis dan memecut serta memandu secara berbahaya.
“Suspek dikejar dari Jalan Tun Sri Lanang, Bandar Kota Tinggi menghala ke Ulu Tiram sebelum berakhir di Kilometer 31.5 Jalan Johor Bahru-Mersing berhampiran lampu isyarat Taman Sri Saujana, Kota Tinggi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusof berkata pemeriksaan menemukan dadah jenis syabu dalam kenderaan itu selain semakan mendapati dua suspek tersebut mempunyai rekod kesalahan serta dikehendaki bagi kesalahan berkaitan dadah.
Beliau berkata ujian saringan air kencing dua lelaki itu juga mendapati mereka positif methamphetamine.
“Dua suspek itu direman hingga 15 Sept bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.
Terdahulu tular di aplikasi Threads video sepasukan anggota polis berjaya menahan beberapa individu di dalam kereta yang tersekat dalam kesesakan jalan raya.





![[VIDEO] Pecut 50km daripada polis, rupanya bawa dadah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/kejar-1024x817.jpeg)
