
KAJANG – Cubaan dua lelaki meloloskan diri daripada pemeriksaan polis berakhir dengan Proton Wira dinaiki mereka merempuh sebuah Perodua Ativa dan kenderaan MPV polis di Jalan Semenyih berhampiran lampu isyarat Kajang Prima di sini, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 3.25 petang ketika anggota Unit Kereta Peronda (MPV), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang sedang menjalankan rondaan.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, anggota terbabit cuba menjalankan pemeriksaan serta mendapatkan dokumen pengenalan diri kedua-dua lelaki berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, kedua-dua lelaki itu bertindak melarikan diri dengan Proton Wira menuju ke arah Kajang.
“Semasa kejadian melarikan diri, kenderaan tersebut telah melanggar sebuah Perodua Ativa dan kemudiannya melanggar kenderaan MPV polis, menyebabkan kerosakan pada bahagian pintu hadapan sebelah kanan.
“Tiada orang awam atau anggota polis yang cedera dalam kejadian ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Susulan itu, polis sedang berusaha mengenal pasti dan mengesan kedua-dua suspek termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup, kamera papan pemuka dan keterangan saksi.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Azlan Zulkiflee di talian 017-316 1138 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE
The post Lari pemeriksaan polis, Proton Wira rempuh Ativa, MPV appeared first on Kosmo Online.



![[VIDEO] Pecut 50km daripada polis, rupanya bawa dadah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/kejar-1024x817.jpeg)

![[VIDEO] Terlelap ketika memandu, lori rempuh kedai nasi lemak](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/lori-kajang-tular-viral-1024x766.jpeg)
