
Polis Tahan Dua Suspek, Kes Kanak-kanak Hilang Kini Disiasat Sebagai Kes Bunuh
Polis mengesahkan kes kehilangan seorang kanak-kanak perempuan, Nurjilya Abdullah, yang dilaporkan hilang di Kampung Numbak, Sepanggar pada 13 Julai lalu, kini disiasat sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, perkembangan itu susulan penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan pada 15 Julai kira-kira jam 10.38 malam.
Menurutnya, polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat berhampiran sebuah rumah yang sedang dalam pembinaan di kawasan cerun semak belukar di atas bukit Kampung Numbak.
"Hasil pemeriksaan awal di lokasi oleh pasukan forensik mendapati mayat mangsa berada dalam keadaan telah mereput.
"Pengecaman identiti kemudiannya dibuat oleh ibu mangsa berdasarkan pakaian yang dipakai oleh mangsa ketika dilaporkan hilang," katanya dalam satu kenyataan.
Punca kematian
Beliau berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan oleh Pakar Perubatan Forensik mendapati punca kematian dipercayai berpunca daripada kecederaan pada bahagian muka dan belakang kepala.
Katanya, kecederaan tersebut disyaki akibat hentakan menggunakan objek keras dan tumpul.
"Bertindak atas maklumat dan siasatan yang dijalankan, pihak polis telah berjaya menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes ini.
"Kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan diteruskan," tambahnya.
Tambah beliau, motif kejadian masih dalam siasatan dan polis sedang melengkapkan siasatan, termasuk mendapatkan keterangan saksi serta mengumpul bukti berkaitan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih sehingga boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.
Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP La Paula Abd Muis di talian 013-5149490 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.






