Kes bunuh di hotel: Seorang lagi suspek ditahan

16 Jul 2026 • 12:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kes bunuh di hotel: Seorang lagi suspek ditahan
Seorang lagi suspek diberkas bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki di sebuah hotel di Sunway Mentari, pada 8 Julai lalu. Gambar hiasan

PETALING JAYA - Seorang lagi suspek diberkas bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki di sebuah hotel di Sunway Mentari di sini pada 8 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an itu ditahan pada Isnin lalu dan direman empat hari sehingga Jumaat bagi membantu siasatan.

"Kita juga membuat permohonan sambung reman pada Khamis terhadap dua suspek yang ditahan sebelum ini.

"Siasatan masih giat dijalankan dan kertas siasatan dijangka dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam minggu ini," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Pada 10 Julai lalu, polis menahan dua lelaki tempatan selepas seorang lelaki berusia lingkungan 30-an ditemukan maut di sebuah hotel itu, sebelum mereka direman tujuh hari.

Mangsa ditemukan selepas polis menerima maklumat pada jam 11.23 malam, manakala pemeriksaan awal mengesan kecederaan pada tubuhnya.

Hasil bedah siasat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah disebabkan hentakan objek tumpul pada bahagian badan.

Siasatan awal turut mendapati kedua-dua suspek berusia 20-an dan 30-an itu mempunyai beberapa rekod jenayah, manakala usaha mengesan suspek lain ketika itu masih dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved