Polis Tahan Lelaki Disyaki Muat Naik Hantaran Hina Sultan Selangor

LocalPolitics
4 May 2026 • 10:14 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

Image from: Polis Tahan Lelaki Disyaki Muat Naik Hantaran Hina Sultan Selangor

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Pada minggu lalu, kecoh di media sosial hantaran berunsur penghinaan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menerusi hantaran tular, dapat dilihat sebuah imej yang disunting dengan gambar khinzir dan pakaian istiadat istana serta dikaitkan dengan baginda yang diletakkan pada ruangan komen.

Hantaran tersebut nyata mendapat perhatian ramai termasuklah pendakwah bebas, Firdaus Wong yang mendakwa laman yang memberikan komen berkenaan adalah akaun palsu.

Susulan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menjalankan siasatan berhubung posting berkenaan yang dikaitkan dengan akaun Facebook milik sebuah institusi.

Baca Artikel Berkaitan: Posting Hina Sultan Selangor: MCMC Rakam Keterangan Pentadbir FB HuaYan The Pureland Learning Centre

Belum pun reda dengan isu ini, timbul satu lagi hantaran mengenai posting melampau dikaitkan dengan Sultan Selangor.

Menerusi hantaran tular, kelihatan imej Sultan Sharafuddin disunting dalam keadaan pakaian yang keterlaluan.

Hantaran itu juga turut mendapat perhatian pengguna media sosial yang mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas berhubung insiden terbabit.

Polis Tahan Lelaki Disyaki Muat Naik Hantaran Berunsur Penghinaan Terhadap Sultan Selangor

Terbaharu, polis menahan seorang lelaki tempatan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang semalam (3 Mei) kerana disyaki memuat naik hantaran gambar berunsur penghinaan terhadap Sultan Sharafuddin.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, suspek yang berusia 30-an itu ditahan oleh sepasukan anggota dari JSJ Bukit Aman dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Jelasnya, dua unit telefon bimbit jenama Samsung dan kad sim turut dirampas dan dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran berkenaan.

“Tangkapan dibuat susulan siasatan terhadap akaun Facebook ‘Lucas Liam’ yang dipercayai memuat naik kandungan menghina itu pada 2 Mei lepas,” katanya.

Polis Terima 12 Laporan, Mohon Orang Ramai Tidak Salah Gunakan Media Sosial

Kes kini disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5) Bukit Aman mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Sehingga kini, sebanyak 12 laporan polis telah diterima dari seluruh negara berhubung isu sama manakala permohonan reman terhadap suspek dibuat esok, (4 Mei),” ujarnya.

Pada masa yang sama, M Kumar mengingatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan media sosial khususnya yang menyentuh isu sensitiviti agama, raja dan kaum (3R) yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Tindakan undang-undang akan diambil tanpa kompromi demi memelihara keselamatan negara,” katanya.

KENYATAAN MEDIA PENGARAH JABATAN SIASATAN JENAYAHTangkapan Berkaitan Kes Hantaran Gambar Penghinaan Terhadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Posted by Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police ) on Sunday 3 May 2026

Tindakan Sebar Imej Yang Mengaibkan Sultan Selangor Lukakan Perasaan Masyarakat Islam – MAIS

Terdahulu, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menjelaskan pihaknya percaya tindakan menyunting dan menyebar imej yang menjengkelkan serta mengaibkan Sultan Selangor sengaja dibuat untuk melukakan perasaan masyarakat Islam di negeri itu.

Menurut Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin, ia susulan hantaran yang dibuat di Facebook jelas tidak menghormati kedudukan baginda sebagai Ketua Agama Islam di negeri Selangor.

Apatah lagi imej yang dimuat naik pula mengaitkan baginda dengan objek dan visual yang jelas haram dari perspektif hukum syarak.

“Merujuk kepada satu hantaran di Facebook yang memaparkan suntingan imej Sultan Selangor dalam keadaan berpakaian tidak sopan, MAIS mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab dan tidak bertanggungjawab yang dikaitkan dengan pemilik akaun Facebook, Lucas Liam.

“MAIS juga turut menyelar tindakan menyunting dan menyebar imej yang menjengkelkan dan mengaibkan Sultan Selangor sebelum ini yang dikaitkan dengan pemilik akaun Facebook Huayan The Pure Learning Centre.

“MAIS percaya bahawa tindakan-tindakan tersebut dibuat dengan sengaja untuk melukakan perasaan masyarakat Islam di negeri Selangor,” jelasnya.

KENYATAAN MEDIAPENYEBARAN VISUAL MENGAIBKAN DYMM SULTAN SELANGOR SEBAGAI KETUA AGAMA ISLAM MELUKAKAN PERASAAN UMAT…

Posted by Majlis Agama Islam Selangor on Saturday 2 May 2026

Baca Artikel Berkaitan: Hantaran Tular Hina Sultan Selangor: Polis Terima 21 Laporan, Siasat Akaun Pemilik Facebook

Baca Artikel Berkaitan: Padah Ugut Bunuh Agong & Hina Institusi Diraja, Lelaki Direman 3 Hari