Polis tahan lelaki disyaki pukul anak kucing

20 Aug 2026 • 2:13 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Polis tahan lelaki disyaki pukul anak kucing

Hasil siasatan turut mendapati anak kucing berkenaan masih hidup dan telah diambil oleh jiran suspek untuk mendapatkan rawatan di klinik veterinar hari ini.

IPOH: Polis menahan seorang lelaki disyaki memukul seekor anak kucing menggunakan penyapu aluminium di kawasan perumahan di Batu Gajah semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Md Noor Aehawan Mohammad berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 12.04 tengah hari selepas ia dirakam oleh jiran suspek yang juga saksi kejadian.

Beliau berkata hasil semakan terhadap rakaman video berdurasi dua minit 19 saat itu mendapati seorang lelaki dilihat memukul seekor anak kucing beberapa kali menggunakan penyapu jenis aluminium.

“Kejadian itu berlaku di kawasan parkir rumah suspek. Susulan kejadian itu, suspek hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah untuk menyerah diri sebelum ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Md Noor Aehawan berkata siasatan awal mendapati suspek mengaku memukul anak kucing berkenaan selepas mendakwa haiwan itu masuk ke bahagian enjin kenderaan miliknya yang diletakkan di kawasan rumah.

Menurut Md Noor Aehawan, suspek mendakwa tindakannya itu dibuat kerana bimbang anak kucing berkenaan boleh tercedera atau mendatangkan bahaya sekiranya enjin kenderaan dihidupkan selain dikhuatiri menyebabkan kerosakan pada kenderaan.

Beliau berkata hasil siasatan turut mendapati anak kucing berkenaan masih hidup dan telah diambil oleh jiran suspek untuk mendapatkan rawatan di klinik veterinar hari ini.

“Polis akan mendapatkan laporan veterinar berhubung keadaan anak kucing itu bagi melengkapkan siasatan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan dan Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved