
KOTA BHARU: Polis Kelantan berjaya menyelesaikan kes pecah rumah dan curi di sekitar bandar ini apabila menahan seorang lelaki yang dipercayai dalang utama kegiatan tersebut pada 10 Ogos lalu.
Tangkapan ke atas suspek berusia 28 tahun itu dilakukan pada pukul 6.30 petang oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D4, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan.
Ketua Polis negeri Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, hasil serbuan pihaknya turut merampas pelbagai barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan jenayah tersebut seperti motosikal Honda C70, telefon bimbit dan jam tangan pelbagai jenama.
Katanya, kad bank, tiga cincin, seutas gelang tangan, tiga beg tangan pelbagai jenama serta wang tunai RM250 turut dirampas semasa serbuan.
“Semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai dua rekod kesalahan berkaitan dadah.
“Saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Yusoff memberitahu, tangkapan itu membolehkan polis menyelesaikan sebanyak 11 kes pecah rumah dan satu kes curi motosikal yang berlaku di Kota Bharu dengan anggaran kerugian keseluruhan mencecah RM100,000.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah.-UTUSAN
The post Tahan dalang utama, polis selesai kes pecah rumah di Kota Bharu appeared first on Utusan Malaysia.






