
MELAKA – Seorang lelaki direman lima hari bermula hari ini selepas disyaki melakukan amang seksual dan penganiayaan fizikal terhadap dua anaknya berusia tujuh dan tiga tahun sejak Mei lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 4 petang semalam sebelum suspek yang berusia 40-an ditahan pada pukul 11.35 malam hari sama.
Katanya, tangkapan telah dibuat oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D8 dan D11, Jabatan Siasatan Jenayah Melaka.
“Hasil siasatan awal, suspek dipercayai telah melakukan amang seksual fizikal terhadap anak lelakinya pada Mei lalu dan anak perempuan berusia tiga tahun pada Jun 2026.
“Suspek turut disyaki menganiaya kedua-dua mangsa secara fizikal pada Ogos 2026 di sebuah rumah di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kedua-dua mangsa telah dirujuk ke Hospital Melaka bagi menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan lanjut.
Ujarnya lagi, semakan lanjut mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau, manakala hasil saringan air kencing adalah negatif.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hukuman sebat.
“Suspek juga akan disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana kesalahan menganiaya yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak melebihi RM50,000 atau kedua-duanya,” katanya.- KOSMO! ONLINE
The post Lelaki direman noda, aniaya dua anak appeared first on Kosmo Digital.






