Polis Tahan Lelaki Disyaki Terlibat Dalam Kebakaran Depan KLCC

14 Apr 2023 • 5:49 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Tular satu kejadian petang semalam mengenai kebakaran 13 buah motosikal dan empat skuter elektrik di kawasan parkir pusat beli-belah Suria KLCC.

Susulan itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya melaporkan telah menahan seorang lelaki warga tempatan selepas dikesan berada berhampiran lokasi kejadian sebelum kebakaran berlaku, berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Menurut kenyataan, lelaki berkenaan yang berusia 34 tahun telah ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi tidak sampai beberapa jam selepas membuka kertas siasatan.

Polis turut merampas sebuah motosikal jenis RS, serangkai kunci motosikal, satu helai baju dan satu helai seluar, satu sarung tangan, satu beg, satu jam tangan dan satu pemetik api.

image is not available

Jelasnya, suspek telah direman selama enam hari mulai hari ini, 14 April hingga 19 April.

Motif masih dalam siasatan

Setakat ini, pihak polis menerima 10 laporan daripada mangsa berhubung kejadian khianat ini serta masih lagi mengesan motif sebenar suspek. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, polis menasihati orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.