Polis tahan suspek utama kes bunuh pelarian Myanmar

22 Sep 2026 • 11:17 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Polis tahan suspek utama kes bunuh pelarian Myanmar

KOTA BHARU, 22 SEPT: Polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun semalam dipercayai suspek utama kes bunuh seorang lelaki pelarian Myanmar di Taman Desa Kujid, Kampung Pok Boh di sini pada Sabtu lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata suspek yang melarikan diri selepas kejadian itu ditahan di rumah sewanya di Pasir Mas.

“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk menyiasat motif pembunuhan,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan September 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Mohd Yusoff berkata polis tidak menolak kemungkinan suspek mengalami halusinasi kerana mendakwa menerima “arahan Tuhan” kira-kira sebulan sebelum kejadian, namun perkara itu perlu disahkan menerusi pemeriksaan doktor.

Selain itu, beliau berkata senjata yang digunakan dalam kejadian itu ialah parang dan siasatan awal mendapati tiada pergaduhan atau pergelutan antara suspek dan mangsa berlaku sebelum kejadian.

Pada 19 Sept, polis menahan empat individu bagi membantu siasatan kes bunuh seorang lelaki pelarian Myanmar berusia 18 tahun yang ditemukan tidak sedarkan diri di Taman Desa Kujid, Kampung Pok Boh di sini pada awal pagi hari sama.

Dalam perkembangan sama, Mohd Yusoff menafikan dakwaan punca pembunuhan itu berkaitan mangsa memiliki kad pengenalan biru yang tular di media sosial.

“Dakwaan itu tidak benar dan kita masih menjalankan siasatan,” katanya.

Beliau berkata polis turut menyiasat status UNHCR beberapa individu berkaitan selepas mendapati terdapat persamaan tarikh lahir antara mereka dengan hanya tahun kelahiran berbeza.

-- BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved