KUALA TERENGGANU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri susulan video tular di laman sosial menunjukkan sekumpulan lelaki menahan seorang pelarian Myanmar.
Pengarahnya, Zamri Samion berkata, tindakan individu atau pihak yang tidak mempunyai kuasa menahan individu lain adalah dilarang kerana ia boleh mencetuskan implikasi perundangan kepada diri sendiri jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
"Untuk kes Ops Pemandu Warga Asing (PEWA) ni, kita konsisten menjalankan penguatkuasaan tapi untuk orang awam, saya nasihatkan bagi mereka yang bukan dalam konteks agensi, yang tidak ada punca kuasa, mereka tidak boleh mengambil tindakan sesuka hati.
"Ini akan beri impak perundangan kepada mereka semua dan mereka perlu ambil maklum," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum JPJ - VTAREC 2026 di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu di sini pada Selasa.
Sebelum ini tular video berdurasi satu minit empat saat memaparkan sekumpulan lelaki menahan seorang pelarian Myanmar dan telah merampas kunci keretanya.
Menerusi perkongsian tersebut, kejadian itu didakwa berlaku di daerah ini.
Mengulas lanjut, Zamri berkata, walaupun wujud rasa prihatin dan sikap cakna dalam kalangan masyarakat terhadap isu keselamatan serta pematuhan undang-undang, usaha membanteras kesalahan sedemikian harus diserahkan sepenuhnya kepada agensi penguat kuasa yang berautoriti.
"Saya faham kadang-kadang anggota masyarakat kita ini rasa cakna tentang risiko-risiko ini, saya faham. Sebolehnya jangan ambil tindakan sendiri.
"Sekiranya ada isu-isu yang dilihat memang melanggar undang-undang, boleh maklum kepada jabatan, boleh hubungi jabatan. Biar pihak jabatan, khususnya JPJ yang ambil tindakan, khususnya bagi kes-kes PeWA dan sebagainya ini," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar menghentikan tindakan melulu dan sebaliknya menggunakan saluran betul dengan merakam bukti serta membuat aduan rasmi sekiranya mengesan sebarang kesalahan.
"Bila orang awam sendiri ambil tindakan, mereka atau agensi yang tidak ada kuasa ambil tindakan, boleh jadi 'backfire' nanti kalau ada apa-apa berlaku. Jadi nasihat saya, jangan ambil apa-apa tindakan sendiri bila tak ada kuasa.
"Sekiranya benda itu jelas memang ada berlaku kesalahan, ambil rakaman, buat aduan. Dalam konteks JPJ ini, kita memang sentiasa melihat aduan-aduan atau komen-komen orang awam dan akan ambil tindakan," jelasnya.






