
GERIK – Tiga lelaki ditahan selepas disyaki terlibat dalam kes kecurian sebuah jentera pengorek (excavator) yang dilaporkan hilang di Kampung Sumpitan, Lenggong, di sini.
Ketiga-tiga suspek berusia 29 hingga 66 tahun itu ditahan dalam tangkapan berasingan di Gerik dan Ipoh semalam.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, dalam operasi itu, polis merampas sebua excavator jenis Mitsubishi ES110 dan telefon bimbit Samsung Galaxy A07 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Katanya, siasatan awal mendapati suspek pertama dipercayai terlibat dalam kegiatan itu, manakala suspek kedua adalah pengusaha alat ganti jentera berat.
“Suspek ketiga pula dipercayai diminta membawa jentera berkenaan ke Ipoh menggunakan sebuah lori jenis loader.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan kesemua suspek diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik untuk tindakan dan siasatan lanjut,” katanya.
Abdul Samad berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan mencuri atau melupuskan harta benda tanpa kebenaran.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu polis bagi melengkapkan siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Polis tahan tiga lelaki, bantu siasatan kes curi excavator appeared first on Kosmo Online.





