Perantau mula ‘berkampung’ atas lebuh raya balik mengundi

LocalPolitics
31 Jul 2026 • 6:26 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Perantau mula ‘berkampung’ atas lebuh raya balik mengundi

KUALA LUMPUR – Golongan perantau mula membanjiri lebuh raya bermula petang ini untuk pulang menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan esok.

Tnjauan Kosmo! menerusi televisyen litar tertutup (CCTV) di laman web Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) setakat pukul 5.50 petang tadi mendapati aliran trafik menuju ke selatan bergerak perlahan di beberapa lokasi utama.

Berdasarkan kemas kini trafik LLM di Facebook, kesesakan paling ketara dikesan dari Plaza Tol Sungai Besi ke Kajang, Putra Mahkota ke Nilai Utara dan Nilai ke Bandar Ainsdale di Lebuh Raya Utara-Selatan.

Bandar Ainsdale yang menjadi pintu masuk utama ke Negeri Sembilan turut menyaksikan pertambahan jumlah kenderaan sejak pukul 4 petang tadi.

Selain itu, LLM melaporkan, aliran trafik turut dilaporkan tinggi di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) arah selatan dari Bukit Lanjan ke Kota Damansara dan Subang ke Shah Alam yang menjadi laluan utama sebelum pengguna memasuki Lebuh Raya Utara-Selatan.

Dalam perkembangan sama, beberapa pengguna media sosial berkongsi situasi ada yang terperangkap dalam kesesakan hampir dua jam dari Plaza Tol Sungai Besi menuju ke kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban.

“Dari pukul 4 petang dari KL masih tak sampai R&R Seremban,” kongsi Ahmad Syukri.

Paparan langsung CCTV LLM turut menyaksikan keadaan sama berlaku di Lebuh Raya Elite apabila trafik bergerak perlahan dari Seafield ke Putra Heights dan Putrajaya ke Bandar Gamuda Cove disebabkan  peningkatan jumlah kenderaan.

Sementara itu, beberapa laluan di sekitar Lembah Klang seperti Lebuh Raya Damansara-Puchong, Lebuh Raya Shah Alam, Lebuh Raya Baru Pantai, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya dan Lebuh Raya Duta-Ulu Kelang turut mengalami kesesakan susulan peningkatan jumlah kenderaan pada waktu puncak.

Terdahulu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Seri Ramlan Harun dilaporkan berkata, seramai 859,760 daripada 889,490 pengundi berdaftar di Negeri Sembilan dijangka menunaikan tanggungjawab mereka esok.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 7,391 pengundi selesai menjalankan pengundian secara pos.

Sebanyak 401 pusat mengundi membabitkan 1,669 saluran akan dibuka bermula pukul 8 pagi hingga 6 petang esok bagi membolehkan pengundi melaksanakan tanggungjawab masing-masing. – KOSMO! ONLINE

The post Perantau mula ‘berkampung’ atas lebuh raya balik mengundi appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved