Tiket MADANI F1 masih dalam perbincangan, kerajaan teliti harga dan kuota – Mohammed Taufiq

30 Jul 2026 • 6:04 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Kerajaan masih meneliti cadangan memperkenalkan Tiket MADANI sempena penganjuran Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Oktober ini, dengan keputusan muktamad bergantung kepada rundingan bersama Bahrain selaku pemegang hak penganjuran.

Image from: Tiket MADANI F1 masih dalam perbincangan, kerajaan teliti harga dan kuota – Mohammed Taufiq

Menteri Belia dan Sukan, Mohammed Taufiq Johari berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sememangnya telah membincangkan cadangan tersebut, namun beberapa perkara termasuk harga tiket serta kuota untuk rakyat Malaysia masih belum dimuktamadkan.

“Kita juga berbincang di peringkat Kementerian Belia dan Sukan untuk mewujudkan Tiket MADANI dan sebagainya, tetapi keputusan muktamad belum lagi dibuat.
“Ini kerana kos tiket adalah hak negara Bahrain, termasuk penetapan harga, jumlah tiket yang akan dikeluarkan serta berapa peratus kuota tiket MyKad yang boleh diperuntukkan kepada rakyat Malaysia,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Litar Antarabangsa Sepang, hari ini.

Sementara itu, Taufiq berkata, hasil pemeriksaan yang dilakukan pasukan teknikal Formula One Management (FOM) bersama Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 23 Julai lalu mendapati kemudahan sedia ada berada dalam keadaan baik tanpa sebarang masalah besar yang boleh menjejaskan penganjuran perlumbaan.

Beliau menjelaskan, tiada isu kritikal atau perkara berisiko tinggi dikenal pasti sepanjang penilaian tersebut, namun beberapa kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan kecil masih perlu dilaksanakan bagi memastikan litar memenuhi piawaian serta spesifikasi yang ditetapkan badan perlumbaan antarabangsa itu.

Image from: Tiket MADANI F1 masih dalam perbincangan, kerajaan teliti harga dan kuota – Mohammed Taufiq

“Tiada sebarang red flags ditemui. Kita hanya perlu melakukan beberapa penambahbaikan kecil dan kerja naik taraf bagi memenuhi spesifikasi yang ditetapkan,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu satu Jawatankuasa Induk Khas ditubuhkan bagi menyelaras aspek keselamatan, protokol dan logistik sempena penganjuran Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada Oktober ini.

Jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, susulan mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan Perdana Menteri bersama kementerian serta agensi berkaitan pada 28 Julai lalu sebelum memorandum penganjuran F1 diluluskan Kabinet sehari kemudian.

“Jawatankuasa induk akan dipengerusikan oleh KSN melibatkan semua Ketua Setiausaha Kementerian, Ketua Pengarah dan agensi keselamatan, manakala Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan menubuhkan jawatankuasa teknikal bagi memastikan semua gerak kerja mematuhi syarat serta garis masa yang ditetapkan,” tambahnya lagi.

Image from: Tiket MADANI F1 masih dalam perbincangan, kerajaan teliti harga dan kuota – Mohammed Taufiq

Difahamkan, SIC akan ditutup kepada orang awam mulai 7 September ini sehingga berakhirnya penganjuran F1 bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan, proses pengujian serta persiapan terakhir menjelang perlumbaan.

Sebelum ini, Malaysia pernah menjadi tuan rumah perlumbaan F1 di Litar Antarabangsa Sepang selama hampir dua dekad iaitu dari 1999 hingga 2017, sebelum perlumbaan tersebut tidak lagi disenaraikan dalam kalendar F1.

Penganjuran F1 GP Bahrain di Malaysia kini dijadualkan berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober depan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved