
BANGKOK: Seorang anggota polis menembak mati isterinya yang merupakan seorang guru di sebuah tadika tempat wanita itu bekerja di Thailand pada Rabu, namun semua kanak-kanak dilaporkan selamat, menurut pihak berkuasa.
Suspek melarikan diri ke rumah selepas kejadian di wilayah Chonburi, tenggara Bangkok dan polis berunding dengannya supaya menyerah diri.
Insiden itu merupakan kejadian tembakan terbaharu yang menggemparkan Thailand, sebulan selepas seorang remaja menembak datuk dan neneknya, diikuti lima kakitangan serta seorang murid di sekolahnya sebelum membunuh diri.
Thailand mempunyai antara kadar pemilikan senjata api tertinggi di rantau ini, namun janji sebelum ini untuk memperketatkan undang-undang berkaitan senjata tidak menghalang kejadian tembakan berulang.
Pengerusi Majlis Daerah Kecil Nong Pla Lai, Sayan Klomaon memberitahu AFP, suspek yang merupakan anggota polis tempatan datang ke sekolah kira-kira 10:30 pagi (waktu tempatan) dan bercakap dengan isterinya sebelum menembaknya.
Katanya, tiada murid melihat kejadian itu kerana ia berlaku di luar bilik darjah. Suspek kemudian meninggalkan sekolah dan pulang ke rumah ketika semua kanak-kanak diambil oleh keluarga masing-masing.
Dalam kenyataan di Facebook, Gabenor Chonburi, Naris Niramaiwong mengesahkan kesemua 44 kanak-kanak berjaya dipindahkan ke tempat selamat bersama tiga guru dan tiga kakitangan lain.
Beliau berkata, polis telah mengepung rumah suspek dan sedang berunding dengannya supaya menyerah diri. Motif kejadian masih belum diketahui.
Naris mengarahkan tadika itu ditutup dan berkata, sokongan psikologi akan diberikan kepada kanak-kanak serta kakitangan yang mengetahui tentang kejadian tersebut.
Pada 2022, seorang bekas anggota polis bersenjatakan pistol dan pisau menyerbu sebuah pusat jagaan kanak-kanak di utara Thailand dan membunuh 24 kanak-kanak serta 12 orang dewasa dalam salah satu pembunuhan beramai-ramai paling dahsyat di negara itu.-AFP
The post Polis tembak mati isteri di tadika appeared first on Utusan Malaysia.




