
MENTAKAB - Seorang bekas pekerja pusat jagaan kanak-kanak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan penderaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sehingga berpotensi menyebabkan kecederaan emosi, bulan lalu.
Nor Ain Ashikin Husin, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Jamaludin Mat.
Mengikut pertuduhan, Nor Ain didakwa melakukan penderaan terhadap kanak-kanak berkenaan dengan cara yang berkemungkinan menyebabkan kecederaan emosi terhadap mangsa.
Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Jalan Keramat Indah, Mentakab, kira-kira jam 9.45 pagi pada 11 Ogos lalu.
Nor Ain didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisa Zaffar, mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin selain memohon syarat tambahan supaya tertuduh tidak menghubungi atau mengganggu mangsa serta saksi-saksi pendakwaan.
Bagaimanapun, peguam Mohd Falihin Kamil Mohamed Sazali yang mewakili Nor Ain memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan.
Menurutnya, anak guamnya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada polis sepanjang siasatan dijalankan.
Beliau turut memberitahu mahkamah bahawa Nor Ain tidak pernah cuba melarikan diri atau mengganggu siasatan serta tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri, memandangkan dia telah berkahwin dan menetap di Temerloh bersama suami serta ibunya.
Mahkamah turut dimaklumkan bahawa Nor Ain sebelum ini memperoleh pendapatan kira-kira RM1,500 sebulan sebagai pekerja pusat jagaan kanak-kanak, namun kini tidak lagi mempunyai pekerjaan.
Peguam berkenaan berkata keluarga tertuduh hanya mampu mengumpulkan RM5,000 bagi tujuan jaminan.
Selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan Nor Ain diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah turut menetapkan syarat supaya tertuduh tidak menghubungi atau mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali.
Kes itu akan disebut semula pada 14 Oktober 2026. - Getaran, 9 September 2026






