
BANGKOK – Seorang pegawai polis menembak mati isterinya yang bekerja sebagai guru di tadika tempat wanita itu bertugas di Thailand hari ini, namun kesemua kanak-kanak dilaporkan selamat, kata pihak berkuasa.
Suspek kembali ke rumahnya selepas kejadian tembakan di wilayah Chonburi, tenggara Bangkok, di mana pihak polis sedang berunding untuk memintanya menyerah diri.
Insiden ini merupakan kejadian tembakan terbaharu yang mengejutkan Thailand, sebulan selepas seorang remaja menembak datuk dan neneknya, sebelum menembak lima kakitangan serta seorang pelajar di sekolahnya, lalu membunuh diri.
Pengerusi Majlis Sub-distrik Nong Pla Lai, Sayan Klomaon berkata, suspek yang merupakan seorang pegawai polis tempatan datang ke sekolah berkenaan sekitar jam 10:30 pagi (waktu tempatan) dan bercakap dengan isterinya sebelum menembak wanita tersebut.
Menurutnya, tiada murid yang menyaksikan kejadian itu kerana ia berlaku di luar bilik darjah.
Dalam satu kenyataan di Facebook, Gabenor Wilayah Chonburi, Naris Niramaiwong mengesahkan bahawa kesemua 44 kanak-kanak telah dipindahkan dengan selamat bersama tiga guru dan tiga kakitangan lain.
Beliau berkata polis telah mengepung rumah tempat suspek itu berada dan sedang berunding untuk proses penyerahan diri.
Motif pembunuhan masih dalam siasatan. – AFP
The post Polis tembak mati isteri di tadika appeared first on Kosmo Online.




