Polis Tenom siasat kes buli babit murid perempuan

24 Jun 2026 • 3:59 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Polis Tenom siasat kes buli babit murid perempuan

Tenom: Polis sedang menyiasat satu kes buli melibatkan seorang murid sekolah rendah yang didakwa dipukul, ditendang dan ditarik rambut oleh seorang rakan sekolah di asrama SK Enubai, di sini.

Ketua Polis Daerah Tenom Supt Azmir Abd Razak berkata bapa mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Tenom pada jam 8 pagi Selasa.

Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku pada 11 Jun, antara jam 6.30 petang hingga 7.30 malam di asrama perempuan (Aspuri Desa) sekolah berkenaan.

Siasatan awal mendapati mangsa berusia 10 tahun, murid Tahun Lima, dipercayai dibuli oleh seorang murid perempuan berusia 11 tahun susulan pertikaian membabitkan ampaian pakaian di asrama.

Difahamkan, mangsa secara tidak sengaja terlanggar ampaian tersebut sehingga pakaian milik suspek terjatuh ke tanah.

Tidak berpuas hati dengan kejadian itu, suspek didakwa memarahi mangsa sebelum menarik rambutnya dan membawanya masuk ke sebuah bilik asrama.

Di dalam bilik berkenaan, mangsa didakwa dipukul, ditendang dan ditarik rambutnya berulang kali. Pada masa sama, dua lagi murid perempuan dipercayai merakam kejadian itu menggunakan telefon bimbit milik suspek atas arahannya.

Siasatan mendapati rakaman video tersebut disimpan selama dua hari sebelum dimuat naik ke aplikasi WhatsApp milik suspek pada 13 Jun. Rakaman itu kemudiannya tular di media sosial.

Mangsa dilaporkan tidak memaklumkan kejadian tersebut kepada ibu bapanya ketika pulang ke rumah pada hujung minggu menyebabkan kes itu hanya diketahui selepas ahli keluarganya menerima rakaman video berkenaan.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan termasuk patah kaki kiri dan sakit pada bahagian muka. Dia kemudian dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan serta rawatan lanjut.

Tiga murid perempuan yang dipercayai terlibat ditahan polis bagi membantu siasatan. Polis akan merakam keterangan semua pihak yang terlibat, termasuk mangsa, suspek, saksi serta pihak pengurusan sekolah.

Polis turut mengesahkan pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati rakaman video yang tular itu sepadan dengan keadaan sebenar di asrama berkenaan.

Bagaimanapun, sumber asal yang bertanggungjawab menyebarkan video tersebut di media sosial masih belum dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah, Seksyen 507B Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penyebaran kandungan dalam talian.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved