BESUT - Seorang anggota polis trafik cedera selepas terjatuh ketika cuba menahan seorang penunggang motosikal dalam Op Motosikal di sebuah stesen minyak di Bandar Jerteh, di sini, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Mohd Rozaime Ab Rahim berkata, dalam kejadian kira-kira jam 11 malam itu, Koperal Saiful Azli Sabtu, 36, yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut mengalami kecederaan pada bahagian paha kiri.
Menurut beliau, kejadian berlaku apabila anggota berkenaan cuba menahan seorang lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR berwarna hitam dan merah tanpa nombor pendaftaran serta tidak memakai topi keledar.
"Bagaimanapun, lelaki terbabit bertindak memecut motosikal secara tiba-tiba sehingga menyebabkan anggota berkenaan terjatuh dan mengalami kecederaan pada bahagian paha kiri.
"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Besut untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Besut atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.






