Polis tumpas sindiket pertaruhan Piala Dunia, tahan 32 warga China

LocalFootball
2 Jul 2026 • 12:26 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Polis tumpas sindiket pertaruhan Piala Dunia, tahan 32 warga China

KUALA LUMPUR, 2 JULAI: Polis menumpaskan satu sindiket pertaruhan bola sepak dalam talian sempena Piala Dunia FIFA 2026 susulan penahanan 32 warga China dalam serbuan di sebuah unit kedai pejabat di Cheras, awal pagi semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata serbuan pada 2.40 pagi itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras yang menyaksikan penahanan 29 lelaki dan tiga wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun.

Beliau berkata polis turut merampas 28 komputer, telefon bimbit pelbagai jenama, modem internet serta pelbagai peralatan lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan.

“Sindiket ini didapati mengendalikan pertaruhan bola sepak menerusi laman web 6288.com dan menggunakan unit kedai pejabat berkenaan sebagai pusat operasi yang telah beroperasi selama tiga minggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadil berkata kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 4(1)(e) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua suspek direman selama empat hari sehingga 4 Julai ini bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata Polis Kuala Lumpur akan terus mempergiat Op Soga XI sepanjang tempoh Piala Dunia FIFA 2026 dengan memberi tumpuan terhadap ejen pertaruhan, penganjur dan individu yang terbabit dalam kegiatan perjudian sama ada secara fizikal mahupun dalam talian.

-- BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved