Polis tumpas tiga sindiket edar dadah, rampasan bernilai RM2.15 juta

28 Oct 2026 • 10:39 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Polis tumpas tiga sindiket edar dadah, rampasan bernilai RM2.15 juta

Polis Kuala Lumpur berjaya menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah bernilai RM2.15 juta selepas menahan 23 individu dalam sembilan serbuan di kondominium mewah sekitar Lembah Klang.

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah dipercayai mempunyai kaitan antara satu sama lain menerusi sembilan serbuan di beberapa kondominium sekitar Lembah Klang dengan rampasan dadah bernilai RM2.15 juta.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Cheras dari 19 hingga 22 Okt itu membawa kepada penahanan 23 suspek berusia antara 21 hingga 40 tahun.

Beliau berkata suspek terdiri daripada 16 lelaki dan seorang wanita tempatan, selain tiga lelaki serta tiga wanita warga asing termasuk dari China, yang dipercayai terlibat dalam rangkaian sindiket berkenaan.

“Operasi pertama pada 19 hingga 21 Okt, polis menjalankan empat serbuan di tiga kondominium berbeza di Sungai Besi, Cheras dan Bandar Baru Seri Petaling yang membawa kepada penahanan lapan lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Fadil berkata operasi kedua pada 20 Okt melibatkan empat serbuan di Sungai Besi, Taman Sri Endah, Ampang Mewah dan Bukit Bintang dengan penahanan tujuh lelaki dan seorang wanita tempatan serta tiga wanita warga asing.

Sementara itu, beliau berkata operasi ketiga pada 22 Okt di sebuah kondominium di kawasan Pudu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing.

“Jumlah keseluruhan dadah dirampas dalam ketiga-tiga operasi itu ialah 393.965 kilogram (kg), meliputi 966 peket plastik disyaki MDMA seberat 254.374 kg, 401 botol cecair MDMA seberat 111.8 kg, enam bekas plastik berisi serbuk disyaki MDMA seberat 9.76 kg, 11 tin berisi cecair disyaki MDMA seberat 5.5 kg dan tiga botol kaca lut sinar disyaki ketamin seberat 0.83 kg.

“Turut dirampas 1,250 biji pil disyaki Erimin 5 seberat 0.385 kg, dua bungkusan plastik disyaki ekstasi seberat 0.365 kg, 40 peket dadah disyaki ketamin seberat 0.046 kg serta satu peket plastik disyaki methamphetamine seberat 0.001 kg,” katanya.

Dalam pada itu, Fadil berkata pihaknya turut menyita enam kenderaan iaitu Toyota Vellfire, Honda City, Proton Inspira, Perodua Axia dan dua Honda Civic serta wang tunai RM5,066, menjadikan nilai keseluruhan sitaan berjumlah RM295,066.

Beliau berkata sindiket itu dipercayai menyasarkan pusat hiburan dan parti persendirian sebagai antara pasaran pengedaran dadah dengan harga jualan bagi sebotol cecair dadah dianggarkan RM300.

Selain itu, katanya sindiket turut menggunakan kondominium mewah sebagai lokasi penyimpanan dan pembungkusan dadah, termasuk memilih premis yang mempunyai sistem keselamatan berlapis serta kawalan ketat bagi menyukarkan pihak polis mengesan kegiatan mereka.

“Siasatan awal mendapati dadah berkenaan dipercayai dibawa masuk dari luar negara sebelum diproses, disimpan dan dibungkus di negara ini untuk diedarkan kepada pengguna melalui pelbagai kaedah komunikasi termasuk pesanan fizikal, laman sesawang, WeChat dan WhatsApp,” katanya.

Beliau berkata semakan mendapati enam suspek tempatan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah, manakala lima warga asing memasuki negara menggunakan pas lawatan sosial dan seorang lagi tidak mempunyai dokumen perjalanan.

Fadil berkata siasatan diteruskan bagi mengenal pasti kaitan antara ketiga-tiga sindiket serta peranan setiap suspek termasuk dalang, pengedar dan pihak yang bertanggungjawab menyimpan dadah selain tidak menolak kemungkinan lebih banyak tangkapan akan dilakukan.

Kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved