
KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan tiga sindiket pengedaran dadah menerusi sembilan siri serbuan di sekitar Lembah Klang dengan rampasan bernilai RM2.15 juta dalam operasi dari 19 hingga 22 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, operasi dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Kuala Lumpur bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Cheras di beberapa lokasi sekitar ibu negara dan Ampang, Selangor.
Menurut beliau, seramai 23 suspek terdiri daripada 16 lelaki tempatan, seorang wanita tempatan, tiga lelaki warga asing dan tiga wanita warga asing berusia antara 21 hingga 40 tahun ditahan dalam operasi berkenaan.
“Kesemua tangkapan dipercayai mempunyai kaitan dengan rangkaian sindiket pengedaran dadah tempatan yang aktif menjalankan kegiatan mereka di sekitar Lembah Klang.
“Tangkapan turut membabitkan dalang dan pengedar, katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, dalam operasi pertama, polis menyerbu tiga kondominium berasingan di Sungai Besi, Cheras dan Bandar Baru Seri Petaling.
Fadil berkata, serbuan itu membawa kepada penahanan lapan lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing dengan rampasan pelbagai jenis dadah disyaki MDMA dan ketamin bernilai RM250,300.
“Seramai 11 lagi suspek ditahan dalam operasi kedua menerusi empat siri serbuan di Sungai Besi, Taman Sri Endah, Ampang Mewah dan Bukit Bintang.
“Dalam operasi ketiga, polis menyerbu sebuah kondominium di Pudu dan menahan seorang lelaki tempatan serta seorang lelaki warga asing,” ujarnya.
Beliau berkata, kedua-dua operasi itu merampas pelbagai jenis dadah termasuk ketamin, ekstasi, eramin 5 dan methamphetamine dianggarkan bernilai RM312,765 dan RM1.59 juta.
Mengulas lanjut, Fadil berkata, siasatan awal turut mendapati sebotol bahan disyaki dadah jenis MDMA dipercayai dijual pada harga antara RM200 hingga RM300.
Fadil menambah, polis turut menyita enam kenderaan terdiri daripada Toyota Vellfire, Honda City, Proton Inspira, Perodua Axia dan dua Honda Civic serta wang tunai RM5,066.
“Kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Hasil semakan mendapati enam suspek tempatan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Lima asing dipercayai memasuki negara menggunakan pas lawatan sosial, manakala seorang lagi tidak mempunyai pas lawatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Rangkaian sindiket dadah KL tumpas, rampasan RM2.15 juta appeared first on Kosmo Online.






