Polis tumpaskan 'Geng Manap', selesaikan 15 kes jenayah

24 Aug 2026 • 11:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Polis tumpaskan 'Geng Manap', selesaikan 15 kes jenayah
Polis Ipoh tumpaskan "Geng Manap" terlibat kecurian motosikal dan pecah rumah. Gambar hiasan

IPOH - Polis berjaya menumpaskan kumpulan dikenali sebagai "Geng Manap” dipercayai terlibat dalam beberapa kes kecurian motosikal dan pecah rumah di sekitar daerah itu pada minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisiten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, enam suspek berusia antara 27 hingga 66 tahun itu ditahan dalam beberapa operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh secara berperingkat dari 11 hingga 18 Ogos lepas.

"Sebanyak 20 rangka motosikal dan lapan guni mengandungi pelbagai komponen motosikal dirampas. Hasil siasatan, kumpulan ini berjaya dikaitkan dengan 14 kes kecurian motosikal dan satu kes pecah rumah, menjadikan keseluruhan 15 kes berjaya diselesaikan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Muhammad Najib berkata, kesemua 15 kes berkenaan telah dipertuduhkan di mahkamah hari ini dengan beberapa suspek dijatuhi hukuman penjara antara 10 hingga 15 bulan.

Beliau berkata, sebahagian lagi suspek dibenarkan diikat jamin antara RM3,000 hingga RM5,000 sementara menunggu sebutan lanjut kes.

Menurut Muhammad Najib, kes berkenaan melibatkan pertuduhan mengikut Seksyen 411, 414, 457 dan 379A Kanun Keseksaan serta Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.

Beliau berkata, kejayaan itu menunjukkan komitmen berterusan polis dalam membanteras kegiatan kecurian motosikal serta menyelesaikan kes berdasarkan maklumat awam dan risikan yang dijalankan secara berperingkat. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved