
TELUK INTAN – Polis Daerah Hilir Perak hari ini berjaya menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kes kecurian kabel elektrik di sebuah sekolah di kawasan Chenderong Balai di sini.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, kira-kira pukul 12.40 tengah hari kelmarin, seorang lelaki tempatan mewakili pihak sekolah membuat satu laporan polis menyatakan kabel elektrik yang dipasang di kawasan blok sekolah telah dipotong dan dicuri.
Beliau berkata, kerugian ekoran kejadian itu dianggarkan bernilai RM50,000.
“Berdasarkan hasil siasatan dan risikan, kira-kira pukul 3.30 pagi hari ini, pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak telah menangkap dua orang suspek.
“Hasil soal siasat yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek, pihak polis turut berjaya merampas beberapa barangan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes iaitu peralatan memotong kabel, kabel elektrik dan sebuah kenderaan,” katanya di sini hari ini.
Kok Lian berkata, kedua-dua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini dan perintah reman telah dibenarkan sehingga 17 Ogos 2026 bagi melengkapkan siasatan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
“Polis menasihatkan pihak sekolah, pemilik premis dan orang awam supaya meningkatkan kawalan keselamatan terhadap harta benda dan kemudahan awam, khususnya kabel elektrik serta barangan yang mudah menjadi sasaran pencuri,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Dua lelaki dipercayai terlibat kes curi kabel elektrik sekolah ditahan appeared first on Kosmo Digital.






