Suspek kes pecah rumah, samun di Tanjung Bungah dicekup

14 Aug 2026 • 1:34 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Suspek kes pecah rumah, samun di Tanjung Bungah dicekup

GEORGE TOWN – Polis menahan dua lelaki tempatan dipercayai terbabit dalam empat kes pecah rumah, samun bersenjata, pencerobohan dan kecurian yang berlaku secara bersiri di sekitar Tanjung Bungah, antara 28 Julai hingga 2 Ogos lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, kedua-dua suspek berusia 29 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan di Machang Bubok dan Jalan Perda Timur, Bukit Mertajam, pagi ini.

Menurutnya, tangkapan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPD TL) pada kira-kira jam 8.45 pagi dan 10.05 pagi hasil operasi khas yang dijalankan bagi mengesan suspek terbabit.

“Pihak polis turut berjaya merampas beberapa barang kes dipercayai milik mangsa-mangsa daripada suspek-suspek semasa tangkapan dilakukan.

“Kedua-dua tangkapan ini akan direman pada 14 Ogos 2026 untuk siasatan lanjut. Proses siasatan masih diteruskan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, kes berkenaan mendapat perhatian selepas polis menerima empat laporan berkaitan kejadian jenayah dengan modus operandi yang sama di kawasan Tanjung Bungah dalam tempoh berkenaan.

Katanya, empat kertas siasatan dibuka
mengikut Seksyen 457, Seksyen 392/397, Seksyen 448 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

“Dua daripada kes terbabit menyebabkan kerugian kira-kira RM17,000, manakala dua lagi tidak melibatkan sebarang kerugian,” jelasnya.

Dennis berkata, PDRM Pulau Pinang memandang serius kejadian berkenaan dan akan terus mengambil tindakan bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan masyarakat di negeri ini terpelihara.

“Pihak Polis Kontinjen Pulau Pinang memberi jaminan akan sentiasa berusaha melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan terbaik untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat Pulau Pinang,” katanya. -KOSMO! ONLINE

The post Suspek kes pecah rumah, samun di Tanjung Bungah dicekup appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved