Ponggal Dirai Penuh Tradisi, Erat Hubungan Kekeluargaan

15 Jan 2026 • 3:29 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Pesta Ponggal yang diraikan masyarakat Tamil di seluruh negara hari ini berlangsung dalam suasana meriah dan penuh tradisi, dengan sambutan diadakan di kediaman masing-masing serta di kuil di beberapa negeri.

Di ibu negara, Pengerusi Kuil Sri Maha Mariamman Tan Sri R Nadarajah berkata, sambutan bermula 10 pagi dengan upacara sembahyang sebelum diteruskan dengan aktiviti memasak Ponggal secara tradisional.

"Pesta Ponggal merupakan perayaan kesyukuran yang sangat penting bagi masyarakat Tamil kerana ia melambangkan penghargaan kepada Tuhan, alam semula jadi serta hasil tuaian dikurniakan. Sambutan ini juga menjadi platform untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan perpaduan dalam komuniti," katanya kepada pemberita.

Di NEGERI SEMBILAN, suri rumah Thilagah Shanmugam, 41, meraikan perayaan Ponggal bersama seluruh ahli keluarganya di rumah dalam suasana meriah dan penuh makna.

Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata persiapan menyambut perayaan tersebut telah dilakukan sejak malam semalam, dengan menghias rumah menggunakan pucuk daun kelapa, daun pisang, hiasan daun mangga serta beberapa batang pokok tebu yang diikat di ruang hadapan rumah. - BERNAMA