Microsoft Membina Pusat Data Menggunakan Kayu Balak Untuk Mengurangkan Jejak Karbon

TechnologyDigital
4 Nov 2024 • 11:58 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Microsoft ialah diantara syarikat yang mahu mengurangkan kadar jejak karbon mereka ke sifar menjelang 2030 kelak. Menariknya, peningkatan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang memerlukan tenaga elektrik dan penggunaan air sebagai penyejukan yang lebih tinggi nampaknya menyukarkan keadaan bukan sahaja untuk mereka, tetapi banyak teknologi syarikat yang lain.

image is not available

Untuk ini, Microsoft nampaknya sedang mencuba sesuatu yang baru, dimana mereka telah mula membangunkan sebuah pusat data baru yang mana rangka luarannya dibina menggunakan kayu balak cross-laminated timber (CLT) untuk mengurangkan jejak karbon.

Dalam sebuah video yang dikeluarkan oleh Intel baru-baru ini, mereka sedang membangunkan sebuah pusat data baru di North Virginia, dimana Microsoft akan menggantikan besi dan konkrit yang digunakan untuk lantai dan dinding dengan kayu CLT ini. Lapisan konkrit nipis akan digunakan untuk memastikan bahawa kayu CLT ini tahan lebih lama.

Microsoft mengatakan bahawa walaupun kayu CLT ini secara teknikalnya lebih mahal berbanding dengan konkrit dan besi, ia juga jauh lebih ringan dan mudah untuk membangunkan struktur bangunan dengannya, dan ini akan mengurangkan kos pembangunan dari segi penggunaan tenaga kerja dan juga bahan mentah yang tidak boleh diperbaharui.

Bukan itu sahaja, Microsoft juga menjangkakan bahawa mereka boleh mengurangkan jejak karbon daripada pembinaan pusat data sebanyak 35 peratus apabila membina menggunakan kayu CLT, dan mengurangkan kebergantungan terhadap konkrit dan juga logam. Gas rumah hijau juga boleh dikurangkan sebanyak 65 peratus apabila membangunkan pusat data ini, dan mula untuk menggunakannya.