Poster boy PRN Melaka bukan keutamaan – Tuan Ibrahim

LocalPolitics
20 Oct 2026 • 6:31 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Poster boy PRN Melaka bukan keutamaan – Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR: Isu calon poster boy bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukan keutamaan kerana individu yang bakal diangkat sebagai Ketua Menteri seharusnya datang daripada parti yang memenangi kerusi paling banyak.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, fokus utama parti ketika ini adalah usaha mendapatkan mandat rakyat dan memastikan kemenangan parti dalam pilihan raya.

Katanya, pemilihan individu tersebut perlu dibuat berdasarkan kemampuan serta kesesuaian calon, bukannya semata-mata populariti atau sejauh mana seseorang itu dikenali masyarakat.

“Bagi kami, isu poster boy bukan keutamaan. Keutamaan sekarang adalah untuk memenangi pilihan raya terlebih dahulu. Isu poster boy ini kadangkala sengaja dijadikan polemik, sedangkan perkara paling penting ialah memilih individu terbaik dalam parti untuk diangkat sebagai pemimpin kerajaan.

“Sebagai contoh, siapa yang mengenali Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini? Begitu juga di Kedah, siapa kenal Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor? Nama beliau tidak begitu dikenali sebelum ini. Ini menunjukkan bahawa pemilihan pemimpin perlu berdasarkan kemampuan dan kesesuaian individu, bukannya semata-mata populariti,” katanya.

Ketika ditanya adakah Pas bersedia untuk menerima calon poster boy dari parti lain, katanya lagi, perkara itu akan dibincang bersama dengan parti yang mereka akan bekerjasama.

“Soal sama ada akan ada poster boy bagi PRN Melaka, perkara itu akan dibincangkan dan diputuskan oleh parti berdasarkan keputusan bersama.

“Buat masa ini, keutamaan kami adalah manifesto, bukannya soal poster boy,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan 14 November ini sebagai hari pengundian PRN Melaka dan hari penamaan calon pada 31 Oktober, manakala hari mengundi awal pula pada 10 November ini.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi dengan 21 dimenangi BN pada PRN lalu, manakala lima dimenangi PH dan dua Perikatan Nasional (PN). – UTUSAN

The post Poster boy PRN Melaka bukan keutamaan – Tuan Ibrahim appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved