Poster Mat Sabu Promosi Pelaburan Patuh Syariah Palsu, ‘Menteri Tak Pernah Izinkan’

Politics
27 May 2023 • 11:49 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Mohamad Sabu tidak pernah memberikan keizinan kepada mana-mana pihak untuk menggunakan gambar beliau, bagi sebarang promosi skim pelaburan patuh syariah - Gambar Facebook Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu tidak pernah memberikan keizinan kepada mana-mana pihak untuk menggunakan gambar beliau, bagi sebarang promosi skim pelaburan patuh syariah.

Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan memaklumkan, kandungan poster tular menampilkan wajah Mohamad yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) mempromosikan skim terbabit adalah palsu.

“Penafian. Datuk Seri Mohamad Sabu tidak pernah memberi izin kepada mana-mana pihak untuk gambar beliau digunakan dalam sebarang promosi skim pelaburan patuh syariah,” katanya menerusi hantaran di Facebook yang turut dikongsi Mohamad.

Justeru, pihaknya meminta supaya penyalahgunaan terbabit diberhentikan segera.

“Pejabat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga sudah membuat laporan kepada SKMM berhubung perkara ini,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial dan aplikasi Whatsapp poster mempromosikan pelaburan patuh syariah tanpa caj tersembunyi.

“Sah dan risiko rendah. Keuntungan 10 kali ganda. Jumlah keuntungan tiada balasan,” katanya.

Malah, skim itu dipercayai kononnya memberikan pulangan keuntungan kepada pelabur dalam tempoh tiga jam sahaja.

Lebih melampau, poster itu turut menampilkan logo beberapa agensi kerajaan, termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), selain bank. – Getaran, 27 Mei 2023

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved