Suruhanjaya Sekuriti anjur persidangan SCxSC Fintech pada 31 Mei 2023
zulfadli
25/05/2023 - 17:54
KUALA LUMPUR 25 Mei - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Agrobank dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan menganjurkan Persidangan SCxSC Fintech pada 31 Mei 2023.
SC dalam kenyataan hari ini memaklumkan, bertemakan "GROW” - Memupuk Kewangan Inovatif dalam Pertanian", persidangan tahun ini bertujuan untuk meneroka dan memanfaatkan peranan saluran pembiayaan alternatif dalam menangani keperluan pembiayaan sektor pertanian.
Katanya, persidangan itu adalah satu cara untuk menghubungkan pelabur, usahawan tani, syarikat pemula niaga teknologi pertanian, teknologi kewangan pertanian, agensi berkaitan, perniagaan tani dan pembina ekosistem untuk bekerjasama serta memupuk rumusan pembiayaan yang inovatif bagi meningkatkan pembangunan pertanian.
"Sebagai negara pengimport bersih makanan, Malaysia sangat terdedah kepada kejutan global dalam rantaian bekalan makanan, justeru produktiviti pertanian Malaysia juga melihat ruang untuk penambahbaikan," katanya.
Menurut kenyataan itu, kelewatan dalam melaksanakan transformasi pertanian boleh menimbulkan cabaran kepada ekonomi negara untuk beralih ke status lebih tinggi dan mungkin menghalang kemajuan dalam mencapai kemakmuran bersama antara masyarakat luar bandar dan bandar.
"Pembiayaan ialah tonggak utama ke arah transformasi pertanian kami dan capaian pembiayaan tradisional kepada petani kecil dan terutamanya pemula niaga teknologi pertanian kekal mencabar," katanya.
Sehubungan itu katanya, pembiayaan alternatif boleh memainkan peranan dengan menjadi jambatan kepada pelabur untuk membiayai pertumbuhan sektor pertanian Malaysia.
Persidangan itu akan menampilkan penceramah terkenal antaranya, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MAFS, Datuk Azah Hanim Ahmad dan Ketua Pegawai Strategi Agrobank, Mohamed Taufik Mahamad Zakaria.
Maklumat lanjut untuk persidangan itu boleh diperoleh dengan melayari https://www.scxsc.my/ dan mengikuti akaun rasmi media sosial SC untuk mendapatkan kemas kini dan pengumuman lanjut di LinkedIn, Facebook, Instagram dan Twitter. - DagangNews.com



