hamden20/08/2026 - 12:43 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Ogos - Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berpotensi meraih manfaat daripada pertumbuhan pasaran bahan kimia khusus bernilai tinggi global yang dianggarkan mencecah AS$676 bilion pada 2025, dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sekitar 5% sehingga 2030.
Peluang itu membuka ruang kepada Johor untuk memperkukuh kedudukannya sebagai hab pembuatan serantau bernilai lebih tinggi, khususnya dalam segmen bahan kimia khusus, pertengahan dan hiliran yang mempunyai potensi pertumbuhan lebih kukuh serta nilai tambah lebih tinggi.
Perkara itu diketengahkan dalam Siri Meja Bulat Ketua Pegawai Eksekutif Iskandar Malaysia 2026 – Pembuatan, anjuran Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dengan kerjasama Kumpulan AmBank yang menghimpunkan pemimpin industri, persatuan, ahli akademik dan institusi sokongan bagi membincangkan masa depan ekosistem pembuatan JS-SEZ.
Di bawah tema “Daya Tahan Melalui Kerjasama Serantau”, sesi petang memberi tumpuan kepada sektor Bahan Kimia dan Bahan Termaju, dengan perbincangan menjurus kepada pembangunan bahan bernilai lebih tinggi, keupayaan pembuatan khusus, hubungan rantaian bekalan serta peluang pelaburan baharu.
Beralih Daripada Komoditi
Prospek pasaran tersebut menggariskan potensi besar JS-SEZ untuk beralih daripada aktiviti pembuatan berasaskan komoditi kepada pengeluaran produk kimia khusus yang lebih kompleks dan mempunyai nilai tambah lebih tinggi.
Perkembangan itu turut meningkatkan keperluan untuk Johor membangunkan keupayaan industri serta rantaian bekalan serantau yang lebih kukuh bagi menyokong aktiviti pembuatan bernilai tinggi, selain membuka ruang kepada lebih banyak kerjasama antara syarikat Malaysia dan Singapura.
Perbincangan sesi berkenaan dikendalikan Principal Asia Tenggara di Roland Berger, Vincent Ting, dengan penyertaan wakil kanan daripada sektor bahan kimia, bahan, tenaga, logistik dan pembuatan.
Antara pemain industri yang mengambil bahagian ialah Hydro Emission, Mitsui & Co. (Asia Pacific) Pte Ltd, Miyoshi Oil & Fat Co Ltd, Pengerang Terminal Sdn Bhd, Idemitsu Petrochemicals (Malaysia) Sdn Bhd, Arkema Coating Resins Malaysia Sdn Bhd, Singapore Manufacturing Federation, FGV Holdings Bhd, Natural OleoChemicals Sdn Bhd, Pacific Oleochemicals Sdn Bhd, MICCI Southern Region dan Universiti Teknologi Malaysia, selain IRDA serta institusi sokongan lain.
Penyertaan pemain industri dari kedua-dua negara itu mencerminkan sifat rentas sempadan JS-SEZ, yang berpotensi menghubungkan keupayaan, teknologi, infrastruktur dan peluang pelaburan yang saling melengkapi antara Johor dan Singapura.
Dalam konteks itu, integrasi rantaian bekalan antara kedua-dua ekonomi boleh membantu syarikat memanfaatkan kekuatan masing-masing, termasuk kepakaran pembuatan, akses pasaran, teknologi, logistik serta kemudahan infrastruktur.
Mencipta Nilai di JS-SEZ
Sementara itu, Pengarah Pembangunan Ekonomi IRDA, Rudyanto Azhar, berkata JS-SEZ bukan hanya mengenai usaha menarik pelaburan baharu, tetapi turut memastikan sektor swasta bersedia menangkap dan mencipta nilai daripada peluang pertumbuhan yang muncul daripada zon berkenaan.
Beliau berkata pertumbuhan JS-SEZ perlu dimanfaatkan bagi memperdalam kompleksiti ekonomi rantau, memperkukuh keupayaan tempatan serta membina ekosistem industri yang lebih berdaya tahan dan berdaya saing.
Dalam pada itu, Ketua Perbankan Komersial Wilayah, Perbankan Perniagaan Kumpulan AmBank, Chua Bang Lee, berkata JS-SEZ menawarkan peluang besar untuk mengukuhkan kedudukan Johor sebagai hab serantau bagi pembuatan termaju, teknologi dan rantaian bekalan.
AmBank telah menyediakan lebih RM20 bilion pembiayaan di Johor serta menyokong lebih 100 pelanggan pelaburan langsung asing (FDI) melalui Meja FDI khusus sejak 2023, sekali gus menunjukkan peranan pembiayaan dalam menyokong pertumbuhan ekosistem JS-SEZ.
IRDA berkata perspektif dan maklum balas industri yang diperoleh melalui siri meja bulat itu akan menyumbang kepada usaha menyokong pelaksanaan Pelan Induk JS-SEZ, khususnya dari segi fasilitasi pelaburan, pembangunan bakat, penerapan teknologi serta sokongan dasar dan kawal selia.
Pemimpin industri turut menekankan keperluan mempercepat pembangunan infrastruktur, menyelaraskan dasar serta memastikan proses kelulusan dilaksanakan dengan pantas bagi membolehkan peluang pelaburan dalam sektor bernilai tinggi direalisasikan. - DagangNews.com




