SHAH ALAM - Model pengurusan Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 didakwa sudah tidak lagi efektif dan memerlukan reformasi segera termasuk pelaksanaan skim rent-to-own (RTO) serta penstrukturan semula peruntukan dana penyelenggaraan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh berkata, PPR Lembah Subang 1 yang mempunyai 3,004 unit kediaman menempatkan hampir 10,000 penduduk sekali gus berfungsi sebagai 'bandar menegak' bergantung sepenuhnya kepada kecekapan pengurusan pihak berkuasa.
Bagaimanapun beliau berkata, kadar kutipan sewa yang dilaporkan hanya kira-kira 40 peratus menyebabkan kerajaan negeri terpaksa menanggung kos tambahan mencecah puluhan juta ringgit bagi tujuan penyelenggaraan.
"Dengan kadar kutipan sedia ada sekitar 20 peratus atau kira-kira RM1.2 juta setahun diperuntukkan untuk penyelenggaraan dan jumlah ini adalah lebih kurang memandangkan kutipan yang rendah.
"Persoalannya, adakah jumlah ini mencukupi untuk menampung kos lif, pam air, tangki, kebersihan dan keselamatan bagi lebih 3,000 unit rumah bertingkat?" soalnya semasa sesi perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Beliau turut mempersoalkan kecekapan sistem kutipan apabila terdapat aduan penduduk gagal membuat pembayaran sewa susulan penutupan pejabat pembayaran sejak beberapa bulan lalu.
Dalam masa sama, Nurul Syazwani turut mempersoalkan rasional kerajaan negeri mengambil sehingga 80 peratus daripada kutipan sewa, sedangkan projek tersebut dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan di atas tanah milik Persekutuan sebelum diserahkan untuk tujuan pengurusan.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan peratusan kutipan sewa yang diperuntukkan untuk penyelenggaraan dinaikkan kepada antara 50 hingga 70 peratus bagi memastikan kerja-kerja penyelenggaraan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Selain itu, beliau turut mencadangkan lebih banyak dana disalurkan secara langsung kepada aspek penyelenggaraan bagi mengelakkan kemudahan asas di kawasan berkenaan terus terjejas.
Nurul Syazwani turut mengemukakan cadangan pelaksanaan skim RTO sebagai pendekatan baharu dengan menjadikan PPR Lembah Subang 1 sebagai projek rintis.
Katanya, model sewaan semata-mata dilihat gagal membina rasa pemilikan dalam kalangan penduduk.
"RTO mampu menjadi penyelesaian lebih mampan dengan garis panduan ketat bagi memastikan hanya golongan layak menerima manfaat," tambah beliau.



