Titah Sultan Selangor tidak wajar dipolitikkan - ADUN Permatang

LocalPolitics
23 Apr 2026 • 6:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Titah Sultan Selangor tidak wajar dipolitikkan - ADUN Permatang
Nurul Syazwani Noh

SHAH ALAM – Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak seharusnya dipolitikkan, sebaliknya perlu dijunjung dan dilaksanakan oleh semua pihak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Nurul Syazwani Noh menegaskan, kebimbangan dizahirkan Sultan Selangor berhubung terlalu banyak isu yang dipolitikkan ketika ini sehingga mengelirukan rakyat dan berpotensi membawa kepada perpecahan perlu diberi perhatian serius.

“Tuanku turut menegaskan bahawa semua pihak termasuk pembangkang mempunyai peranan penting untuk memantau dasar dan pelaksanaan demi memastikan pentadbiran negeri berjalan dengan baik.

“Ini bukan sekadar nasihat, tetapi peringatan serius kepada semua pihak dalam dewan ini, sama ada di belah sini mahupun di belah sana,” katanya ketika membahaskan titah Sultan Selangor di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Menurut beliau, titah berhubung isu penternakan babi di negeri ini telah dibuat dengan jelas, iaitu tidak sesuai dilaksanakan atas faktor kekangan tanah, kepadatan penempatan penduduk serta risiko pencemaran kepada sungai dan alam sekitar.

Ujarnya, titah berkenaan dibuat dengan penuh pertimbangan demi kepentingan negeri dan kesejahteraan rakyat, namun terdapat pihak yang masih tidak berpuas hati serta enggan mematuhinya.

“Perkara ini amat membimbangkan dan saya berharap selepas ini janganlah ada lagi antara kita yang merungut atau cuba mempersoalkan titah ini.

“Kita boleh berbeza pandangan dalam soal dasar dan berbahas dalam soal pentadbiran, tetapi apabila melibatkan titah Tuanku, tiada ruang untuk diperdebatkan secara politik atau dimanipulasi.

“Yang ada hanyalah tanggungjawab untuk menjunjung dan melaksanakan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan pendirian tegas kerajaan negeri dalam memastikan titah Sultan Selangor berhubung isu penternakan babi dipatuhi sepenuhnya tanpa sebarang kompromi.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai tindakan konkrit yang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang masih enggan mematuhi titah berkenaan.