PPS terakhir ditutup, semua mangsa banjir di Baling dibenarkan pulang

9 Sep 2022 • 1:23 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

BALING: Pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Terbuka Kampung Padang Empang, di sini ditutup pada pukul 10 pagi tadi selepas semua mangsa banjir yang ditempatkan di situ dibenarkan pulang hari ini.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling Leftanan Pertahanan Awam (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata sebelum ini seramai 94 mangsa daripada 30 keluarga ditempatkan di PPS itu selepas kediaman mereka dinaiki air ekoran banjir kilat pada Selasa lepas.

“Penutupan PPS terbabit diumumkan oleh Pegawai Daerah Baling merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Baling pada pukul 10 pagi tadi.

“Jambatan Bailey yang mengalami kerosakan akibat banjir pada Selasa lepas, masih ditutup kepada semua kenderaan dan pejalan kaki,“ katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Dalam kejadian pada petang Selasa itu, beberapa kawasan di Mukim Baling dan Mukim Kupang dilanda banjir kilat yang menjejaskan kira-kira 130 mangsa daripada 37 keluarga.

Dua PPS dibuka iaitu PPS Dewan Dewan Terbuka Kampung Padang Empang dan PPS Dewan Masjid Al Huda Kampung Hangus bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir selepas rumah mereka dinaiki air.

Ini merupakan kali ketiga banjir kilat melanda Kampung Iboi dan kawasan-kawasan lain yang terletak di jajaran Sungai Kupang, selepas tragedi banjir aliran puing yang meragut tiga nyawa termasuk seorang warga emas dan ibu hamil empat bulan, 4 Julai lepas.

Banjir kilat kedua pula berlaku pada 28 Julai, namun tiada kehilangan nyawa berlaku.-Bernama