Prabowo dakwa banyak syarikat asing terlibat bakar hutan di Indonesia

WorldEnvironment
24 Oct 2026 • 8:30 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Prabowo dakwa banyak syarikat asing terlibat bakar hutan di Indonesia

JAKARTA: Indonesia memberi amaran akan membatalkan permit operasi syarikat asing yang berulang kali melanggar peraturan, termasuk firma dipercayai berpotensi menyumbang kepada kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan serta Sumatera.

Presidennya, Prabowo Subianto berkata, sebilangan syarikat berulang kali melanggar peraturan, walaupun memegang permit perniagaan dan konsesi selama bertahun-tahun.

“Terdapat petunjuk bahawa banyak syarikat asing juga harus dipertanggungjawabkan. Sebaha­gian daripada mereka diberikan konsesi selama lebih 10 tahun. Namun, ada yang melanggar peraturan tiga atau empat kali, manakala yang lain berpuluh-puluh kali. Ada juga yang melanggar peraturan sebanyak 19 kali.

“Pada pandangan saya, cukuplah. Jika mereka melanggar peraturan sebanyak dua kali, batalkan sahaja permit mereka,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Penyelarasan Nasional Pasukan Pecutan Akses Kewangan Daerah (TPAKD) 2026 di Jakarta kelmarin.

Prabowo tidak menamakan syarikat yang disyaki me­nyumbang kepada kebakaran hutan dan tanah itu, sebaliknya mendakwa akan mendedahkannya pada masa yang sesuai.

Beliau turut membidas kritikan negara lain terhadap pe­ngendalian kebakaran hutan dan tanah di Kalimantan serta Sumatera. Prabowo menuduh sebilangan negara memperlekeh­kan Indonesia meskipun syarikat dari negara berkenaan turut beroperasi di republik itu.

“Sebilangan negara memperlekehkan dan menghina kita, antara lain. Namun, banyak syarikat yang bertanggungjawab sebenarnya berasal dari negara mereka sendiri dan beroperasi di sini,” kata Prabowo.

Beliau berkata, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada usaha menangani kebakaran itu, selain memuji usaha Tentera Nasional Indonesia (TNI), polis dan pentadbiran wilayah.

Prabowo turut menolak kemungkinan penduduk tempatan di Kalimantan menjadi dalang kebakaran hutan, de­ngan alasan mereka bergantung kepada tanah dan hutan untuk menyara kehidupan.

“Saya yakin penduduk Kalimantan yang bergantung kepada tanah dan hutannya untuk meneruskan kehidupan tidak mahu melihat kawasan itu terbakar. Mereka dan anak-anak merekalah yang akan menderita.

“Tidak mungkin penduduk tempatan melakukannya. Pela­kunya pasti pihak yang tidak menyayangi Indonesia atau rak­yatnya,” kata Prabowo. – AGENSI

 

The post Prabowo dakwa banyak syarikat asing terlibat bakar hutan di Indonesia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved