Pramugara prihatin santuni jemaah haji kritikal kanser usus, kini terlantar di Perak

LocalHealth & Fitness
2 Jul 2026 • 2:15 PM MYT
MYBERITA
MYBERITA

Segalanya yang terkini, terbaik dan tepat untuk anda semua

KUALA LUMPUR – Seorang pramugara yang dikenali ramai kerana kerap berkongsi pengalaman menyantuni jemaah haji dan umrah Malaysia kini berada dalam keadaan kritikal selepas berjuang melawan kanser kolon tahap empat, sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya di Perak untuk rawatan dan penjagaan keluarga.

Perkembangan terkini itu dimaklumkan ahli keluarga terdekat menerusi beberapa hantaran media sosial, sekali gus mengundang simpati dan doa orang ramai yang mengikuti perjalanan kerjaya dan perjuangannya selama ini.

Menurut sepupunya, Hani Mishan, keadaan Hafeez Al-Bukhary Zulkefli, 42, semakin merosot dan kini berada dalam pemantauan keluarga.

“Sepupu saya pada ketika ini dalam keadaan kritikal dan telah dibawa pulang ke kampung halaman di Perak. Tolong panjatkan doa untuknya dan kita berdoa bersama-sama semoga dia sembuh daripada kanser,” katanya menerusi hantaran Threads.

Ibu saudara beliau turut meluahkan rasa pilu menerusi Facebook Orked Purple dengan harapan agar diberikan keajaiban kesembuhan.

“Ya Allah, semoga ada keajaiban, ada kesembuhan buat anak buahku. Hapuskan kesakitan daripada tubuhnya, gantikan kekuatan dan ketenangan,” katanya.

Tinjauan di media sosial Hafeez mendapati hantaran terakhirnya pada 22 Jun lalu memaparkan beliau sedang menerima rawatan di hospital, selain memaklumkan tidak menerima lawatan kecuali ahli keluarga terdekat.

Hafeez sebelum ini didiagnosis menghidap kanser kolon tahap empat sejak 27 Ogos tahun lalu, namun tetap meneruskan tugas sebagai pramugara termasuk menyantuni jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci baru-baru ini.

Dalam pada itu, ruangan komen media sosial dibanjiri doa dan kenangan orang ramai yang pernah mengikuti perkongsiannya, terutama ketika beliau bertugas membantu jemaah haji dan umrah.

“Saya follow dia dah lama, seronok tengok cara dia menyantuni bakal jemaah haji dan umrah… Ya Allah, mungkin pada zahirnya kita nampak dia baik sangat, tapi hakikatnya dia memang orang baik,” kata pengguna Threads, Jaja Ismail Tuan Ismail.

Seorang lagi pengguna, 868 sen, pula berkata beliau mengikuti perkembangan Hafeez sejak menjaga ahli keluarga yang uzur.

“Saya follow masa dia selalu update jaga ayah dia uzur… lepas tu tahu-tahu dia masuk wad. Memang dia orang yang baik,” katanya.

Setakat ini, keluarga memohon agar orang ramai terus mendoakan kesembuhan Hafeez yang kini sedang melalui fasa kritikal penyakitnya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved