CLMT sasar penyewa baharu, kukuhkan segmen runcit

17/04/2025 - 10:57
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 17 April – Capitaland Malaysia Trust (CLMT), akan terus memperkukuh portfolionya dengan menyasarkan penyewa baharu serta mengukuhkan segmen runcit, selepas mencatatkan prestasi kewangan lebih kukuh bagi suku pertama tahun kewangan 2025 (1QFY25).
Pengurus amanah hartanah tersebut, CapitaLand Malaysia REIT Management Sdn Bhd (CMRM) berkata, tumpuan kekal kepada meningkatkan pengalaman pelanggan melalui naik taraf aset dan pengenalan konsep baharu.
Ketua Pegawai Eksekutif CMRM, Yong Su-Lin berkata, antara inisiatif terbaru, kerja penambahbaikan di Gurney Plaza telah disiapkan baru-baru ini, termasuk pengenalan konsep runcit baharu untuk menarik lebih ramai pengunjung.
"Di The Mines, kami telah memperoleh penyewa taman permainan kanak-kanak baharu yang akan mengisi kira-kira 25,000 kaki persegi ruang boleh disewa. Penambahan ini bakal memperkukuh lagi tawaran pengalaman di pusat beli-belah tersebut," katanya dalam satu kenyataan.
Bagi 1QFY25, pendapatan bersih hartanah (NPI) meningkat 9.6% kepada RM70.09 juta berbanding RM63.98 juta setahun lalu.
Manakala pendapatan boleh agih naik 10.9% kepada RM37.3 juta, daripada RM33.6 juta sebelumnya.
CLMT turut mengumumkan agihan sebanyak 1.28 sen seunit, naik 7.6% berbanding 1.19 sen bagi tempoh sama tahun lalu.
Hasil kasar meningkat 7.6% kepada RM120.4 juta daripada RM111.88 juta, disokong oleh pelarasan kadar sewa secara berperingkat, semakan positif kadar sewa, serta penyumbangan pendapatan sewaan daripada Pusat Pengedaran Glenmarie yang bermula pada Januari 2025.
Bagaimanapun, perbelanjaan operasi hartanah turut meningkat 5% y-o-y kepada RM50.3 juta.- DagangNews.com
standard
