
Bantuan Poket RM1,200 untuk Pelajar IPT
Premier Sarawak Umum Bantuan Khas RM1.2K Untuk Pelajar Di IPT. Sarawak terus memperkukuhkan sokongan dalam bidang pendidikan dengan pelbagai inisiatif bantuan kewangan dan pembangunan yang diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam Belanjawan Negeri 2025. Inisiatif ini dirangka untuk membantu meringankan beban pelajar Sarawak serta memajukan sistem pendidikan di negeri ini. Berikut adalah ringkasan bantuan-bantuan yang diumumkan.
Sebanyak 25,000 pelajar Sarawak yang sedang melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara akan menerima bantuan poket sebanyak RM1,200 bermula tahun 2025. Bantuan ini disasarkan untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dengan per kapita pendapatan isi rumah tidak melebihi RM1,500 sebulan. Abang Johari menjelaskan bahawa bantuan ini bertujuan untuk membantu pelajar dalam menampung kos sara hidup, khususnya untuk makanan dan barangan keperluan asas.

Baucar Buku RM500 dan Komputer Riba Percuma
Sebanyak RM30 juta telah diperuntukkan bagi melaksanakan bantuan ini dalam Belanjawan Negeri Sarawak 2025. Pengumuman ini amat menggembirakan golongan pelajar dan keluarga mereka, yang kini lebih yakin dapat menampung kos kehidupan di kampus.
Selain bantuan poket, inisiatif baucar buku bernilai RM500 dan bantuan komputer riba percuma yang diperkenalkan pada Ogos lalu juga akan diteruskan pada tahun 2025. Bantuan baucar buku sebanyak RM500 akan diberikan kepada pelajar Sarawak di IPT awam dan swasta yang berasal daripada keluarga dengan pendapatan per kapita di bawah RM1,500 sebulan. Untuk ini, RM2 juta telah diperuntukkan.
Bagi bantuan komputer riba pula, RM30.5 juta diperuntukkan bagi membekalkan komputer riba kepada 10,166 pelajar Sarawak yang berjaya memasuki IPT awam dan swasta. Inisiatif ini diharapkan dapat membantu pelajar menghadapi cabaran akademik dengan teknologi terkini yang diperlukan.
Sarawak juga memberi penekanan kepada pembangunan IPT yang dimiliki kerajaan negeri melalui geran operasi tahunan. Pada tahun 2025, sejumlah RM35 juta diperuntukkan kepada Universiti Teknologi Sarawak, RM30 juta untuk Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak, RM30 juta kepada Kolej Universiti i-CATS, dan RM5.5 juta kepada Kolej Laila Taib. Geran ini bertujuan menyokong operasi dan pembangunan IPT ini supaya dapat terus menyediakan pendidikan berkualiti kepada anak-anak Sarawak.
Kerajaan negeri memperuntukkan RM20 juta untuk Program Peningkatan Pendidikan Sarawak (SEEP), yang menyediakan tuisyen percuma bagi pelajar Tingkatan 4 dan 5 dalam subjek teras seperti Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan Sejarah serta subjek sains tulen. Program ini kini diperluaskan lagi skopnya untuk memastikan lebih ramai pelajar mendapat manfaat.
Selain itu, RM27 juta diperuntukkan untuk menampung kos operasi tiga sekolah antarabangsa milik negeri yang terletak di Petra Jaya, Mile 12 Jalan Kuching-Serian, dan Sibu. Sekolah di Sibu dijangka siap menjelang akhir tahun ini, sekali gus meningkatkan pilihan pendidikan antarabangsa bagi rakyat Sarawak.
Dalam sektor pendidikan awal kanak-kanak, kerajaan negeri memberi sokongan besar melalui SeDidik, penyedia pendidikan awal kanak-kanak milik kerajaan, dengan peruntukan sebanyak RM20 juta. Kerajaan turut menyediakan geran khas tahunan sebanyak RM14 juta kepada semua institusi pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak yang berdaftar pada tahun 2025.
Tambahan pula, subsidi yuran untuk Tadika dan Taska bernilai RM2.5 juta turut diperuntukkan bagi membantu keluarga yang mempunyai pendapatan bulanan RM7,000 ke bawah. Ini dijangka memberi manfaat kepada 2,500 kanak-kanak, sekali gus memperluaskan akses kepada pendidikan awal yang berkualiti di kalangan kanak-kanak Sarawak.


