Premis asrama pekerja tidak patuhi keselamatan kebakaran

20 Oct 2026 • 10:39 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Premis asrama pekerja tidak patuhi keselamatan kebakaran

SEREMBAN: Pendawaian elektrik tidak mengikut piawaian dan penggunaan sambungan elektrik tambahan antara bahaya kebakaran dikesan di premis-premis asrama pekerja di Seremban 2 di sini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Nor Arifin Kamari berkata, sebanyak 242 unit melibatkan 71 lot premis telah diperiksa dalam operasi berkenaan bagi menilai tahap pematuhan terhadap aspek keselamatan kebakaran.

Katanya, 19 unit dikesan melakukan kesalahan antaranya pengubahsuaian lot kedai menjadi asrama pekerja tanpa mengambil kira aspek keselamatan termasuk pembinaan bilik menggunakan papan lapis yang mudah terbakar.

“Selain itu, terdapat pendawaian elektrik yang diubah suai dan tidak mengikut piawaian, termasuk penggunaan sambungan elektrik haram yang boleh menyebabkan litar pintas serta kebakaran.

“Laluan keluar juga tidak mencukupi untuk menampung jumlah penghuni sekiranya berlaku kecemasan, selain terdapat premis yang tidak menyediakan alat pemadam api,” katanya semasa sidang akhbar Op Sarang Burung di sini, awal pagi tadi.

Nor Arifin berkata, pemeriksaan lanjut turut mendapati premis yang menempatkan kira-kira 20 pekerja dalam satu lot kedai berukuran 20 kaki dengan setiap katil juga dilengkapi sambungan elektrik tambahan.

“Kami mendapati terdapat sambungan elektrik tambahan dan pendawaian haram pada setiap katil bagi menampung keperluan mereka. Keadaan itu menyebabkan beban penggunaan elektrik menjadi lebih tinggi berbanding penggunaan biasa,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya akan mengeluarkan Notis Menghapuskan Bahaya Kebakaran (MBK) kepada pemilik premis terlibat dalam tempoh kira-kira tujuh hari mengikut Seksyen 8 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341).

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 369 notis MBK telah dikeluarkan kepada pemilik 75 premis daripada keseluruhan 715 premis yang diperiksa di seluruh Negeri Sembilan pada tahun ini.

“Pada tahun ini, sebanyak 715 buah premis telah diperiksa. Daripada jumlah itu, sebanyak 369 notis MBK telah dikeluarkan kepada 75 buah premis setakat ini,” katanya.

The post Premis asrama pekerja tidak patuhi keselamatan kebakaran appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved