
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 39 tahun didenda keseluruhan RM30,000 kerana membuat sambungan elektrik secara haram dan memasang pendawaian elektrik tanpa kebenaran di sebuah premis perniagaan menyebabkan Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) mengalami kerugian.
Mohd Arif Koh Keah Lin mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan berkenaan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Dr Nur Asyikin Mohktar di Mahkamah Sesyen Keningau.
Bagi pertuduhan pertama, Mohd Arif didenda RM20,000 kerana menggunakan bekalan elektrik secara tidak jujur dengan membuat sambungan haram menggunakan kabel pintasan tembaga tiga fasa berukuran 16mm².
Kabel itu dipasang terus dari fius pemutus talian perkhidmatan utama dan sambungan neutral milik SE ke papan agihan bilik sejuk di premis berkenaan sekaligus memintas meter elektrik satu fasa.
Perbuatan itu menyebabkan caj penggunaan elektrik yang dikenakan oleh SE menjadi lebih rendah daripada sepatutnya, sekali gus mengakibatkan kerugian kepada syarikat utiliti berkenaan.
Kesalahan itu dilakukan pada jam 2.20 petang, 9 Mac tahun ini di premis Ali Store Fresh Mart 2, Kampung Tuarid Taud, Jalan Tuarid Taud, Keningau.
Kesalahan itu dilakukan mengikut Subseksyen 61(3)(a) Enakmen Bekalan Elektrik 2024 dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 61(3)(ii) enakmen sama yang memperuntukkan denda antara RM20,000 hingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd Arif didenda RM10,000 kerana memasang pendawaian elektrik pada pendawaian sedia ada di premis berkenaan tanpa mendapatkan kelulusan bertulis daripada SE.
Kesalahan itu turut dilakukan di lokasi dan pada waktu yang sama.
Mohd Arif telah membayar kedua-dua denda berkenaan.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Tenaga Sabah Andryeno Thomas mengendalikan pendakwaan manakala Mohd Arif tidak diwakili peguam.






