Premis sembelihan ayam di Puchong tiada dalam pemantauan halal Jakim - Dewan Rakyat diberitahu

3 Nov 2026 • 9:01 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Premis sembelihan ayam di Puchong tiada dalam pemantauan halal Jakim - Dewan Rakyat diberitahu Image from: Premis sembelihan ayam di Puchong tiada dalam pemantauan halal Jakim - Dewan Rakyat diberitahu amree03/11/2026 - 09:01 Gambar BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Nov — Premis sembelihan ayam yang diserbu di Puchong, Selangor pada 30 Oktober 2026 didapati tidak tersenarai dalam rekod pemantauan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dengan 6.5 tan ayam mentah dipercayai tiada pematuhan kaedah penyembelihan syariah dirampas.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pemeriksaan awal mendapati premis berkenaan turut menjalankan aktiviti pemprosesan dan pengedaran ayam segar tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan.

 

"Premis berkenaan tidak berada dalam rekod pemantauan halal agensi berkenaan atau Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana tidak mempunyai pensijilan halal Malaysia," jelasnya.

 

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.

 

Zulkifli berkata, JAKIM memandang serius perkara itu kerana ia membabitkan pematuhan syariah, aspek kebersihan serta keyakinan pengguna terhadap status halal ayam yang dipasarkan kepada orang ramai.

 

Katanya, pensijilan halal di Malaysia dikawal selia menerusi Akta Perihal Dagangan 2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, selain terdapat skim rumah sembelihan bagi memastikan proses penyembelihan serta pengendalian haiwan mematuhi kehendak syariah.

 

ayam_DagangNews2026
Gambar BERNAMA

 

"Pemantauan Jakim bersama Jabatan Agama Islam Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri dilaksanakan menerusi pensijilan halal, audit serta pemeriksaan terhadap premis yang memiliki sijil berkenaan, tegas beliau.

 

Audit itu ujar Zulkifli, merangkumi sumber haiwan, kelayakan penyembelih dan penyelia halal, kaedah pelalian, proses penyembelihan, kebersihan, pengendalian produk serta sistem pengurusan halal.

 

Bagaimanapun, beliau berkata pensijilan halal di Malaysia bersifat sukarela, justeru pengawalseliaan semua rumah sembelihan memerlukan kerjasama pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa tempatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

 

Jelasnya, Jakim akan terus mempergiat pemeriksaan bersama, perkongsian maklumat risikan dan siasatan terhadap aduan, khususnya membabitkan premis atau produk yang disyaki menggunakan logo serta pernyataan halal mengelirukan.

 

"Penempatan penyelia halal di rumah sembelihan merupakan syarat wajib bagi mana-mana pengusaha yang memohon Pensijilan Halal Malaysia, selain memaklumkan Jakim sebelum ini mengenakan kompaun berjumlah RM40,000 terhadap tiga syarikat atas ketidakpatuhan peraturan.

 

Dalam serbuan menerusi Ops Taring Chiller pada 30 Oktober 2026, seramai 12 lelaki warga Bangladesh dan Pakistan yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penyembelihan serta pemprosesan ayam di premis berkenaan turut ditahan untuk siasatan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved